[VIDEO] JANGAN LUPA IMPIAN KITA – NAJIB

MUKADIMAH: INI merupakan kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mingguan Malaysia mengadakan wawancara bersama bekas Perdana Menteri, DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK.

Walaupun pada sebelah pagi beliau memberikan keterangan kepada polis di Bukit Aman selama beberapa jam, Najib masih meluangkan masa untuk ditemu bual oleh wartawan Mingguan Malaysia, BADRUL AZHAR ABDUL RAHMAN, HAFIZAHRIL HAMID, ZULKIFLI JALIL dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto SAIFOL BAHARI ASHARI di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Sepanjang sesi wawancara yang berlangsung lebih sejam itu, Najib tenang menjawab setiap soalan yang dilontarkan. Memakai baju batik berwarna merah, bekas Presiden UMNO itu melahirkan kebimbangannya akan beberapa keputusan diambil kerajaan terhadap ekonomi negara dan rakyat.

Menurut Najib, pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pelaksanaan semula kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan memberikan banyak kesan buruk.
“Rakyat biasa nampak dari segi kenaikan harga sahaja yang diuar-uarkan tapi kesan yang mereka tak sedar ini lebih buruk sebenarnya. Apatah lagi 1 September ini, tunggu sahaja harga akan naik dengan ketara,” katanya.

MINGGUAN: Boleh Datuk Seri ulas tindakan kerajaan sekarang mahu menangguhkan atau membatalkan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR)?

NAJIB: Setiap projek yang disebutkan tadi itu, bila kita rancang, ada asasnya mengapa projek-projek itu hendak kita laksanakan. Projek ECRL umpamanya, projek ini akan merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat. Satu game changer.

Kalau tidak ada projek seperti itu, tak ada sesuatu yang boleh membawa kepada perubahan yang ketara dari segi kepesatan pembangunan. Kalau kita buat jalan, jambatan, hospital atau universiti, tak sama dengan satu projek yang membawa kepada perhubungan yang lebih bermakna iaitu connectivity (ketersambungan).

Sebab dalam ekonomi digital dan moden, kita perlu pada connectivity. Sebab ia bukan sahaja akan membuka perhubungan dari segi fizikal, tetapi akan membawa kepada limpahan kesan. Bila kita menilai sesuatu projek, kita tak boleh menilai projek itu dari segi kos atau jumlah pinjaman sahaja.

Tetapi kita mesti melihat kepada soal eksternaliti (kesan luaran). Maknanya, kesan pada kadar pertumbuhan negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka bertambah 1.5 peratus setahun disebabkan ECRL.

Kita mesti melihat dari segi peluang perniagaan. Stesen-stesen baharu di sepanjang jalan yang akan dibina. Bandar-bandar kecil yang selama ini malap, muram dan tak ada masa depan yang cerah. Tapi disebabkan ia sebahagian laluan ECRL akan menempa masa depan yang cukup berbeza kerana ECRL.

Berapa ribu rakyat Malaysia yang keluar dari universiti setahun akan dapat peluang pekerjaan. Misalnya, kita hendak buat teknologi landasan kereta api moden. Ini satu keilmuan baharu. Anak-anak kita akan dapat peluang. Sebab setiap tahun 500,000 orang keluar dari universiti. Takkan semua nak kerja kerajaan?

Kalau mereka hendak masa depan yang baik, kerja dalam teknologi baharu. Bila ada keilmuan baharu, mereka akan dapat pekerjaan di negara lain. Katakan kalau ada sistem pengangkutan kereta api moden hendak dibuat di Timur Tengah, mereka boleh bekerja di sana.

Selama ini harga tanah kategori pertanian berapa sangat nilainya? Tetapi bila ada ECRL, harga tanah akan meningkat dengan ketara. Pelabur di Pantai Timur juga boleh menggunakan Pelabuhan Klang dengan mudah. Pelabuhan Klang boleh hantar barang ke Pantai Timur.

Inilah terangkum dalam perkiraan eksternaliti yang mesti kita ambil kira kalau kita hendak buat penilaian atas mana-mana projek. Kajian oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) yang saya tengok juga membuat kesimpulan positif.

Begitu juga dengan HSR dianggap sebagai game changer. Misalnya, bandar Batu Pahat, Muar, Seremban dan sebagainya akan maju dengan begitu pesat dan gaya hidup antara kita dan Singapura akan berubah.

Maknanya orang Singapura boleh beli banglo di sini dan bekerja di Singapura. Orang kita yang bekerja di Singapura juga boleh tinggal di Malaysia.

Jadi, banyak kesan kepada negara kita yang mana kereta api laju akan membawa kepada perubahan yang besar kepada landskap ekonomi negara. Kita tidak boleh membuat kesimpulan yang terlalu cepat. Tender pun belum tutup lagi.

Bila tender belum tutup, macam mana dia boleh buat anggaran sesuatu perbelanjaan yang begitu besar yang disebut-sebutnya. Kita tidak tahu lagi.

Jangan lupa kalau kita buat tender terbuka antarabangsa yang begitu kompetitif, negara akan buat tawaran dengan pinjaman pakej kewangan yang cukup lumayan. Mungkin ada yang akan beri kadar faedah satu peratus atau moratorium tujuh hingga 10 tahun. Mana tahu? Kita tak tahu lagi.

Jadi kalau kita hendak buat kesimpulan untuk membatalkan atau mengkaji semula berdasarkan andaian kita atau kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) yang buat, ini akan merugikan negara.

Bukan soal siapa buat tapi lakukan penambah baikan atau lakukan pembaharuan yang lebih baik. Tapi kalau projek itu difikirkan amat sesuai dan berkesan kepada rakyat dan ekonomi negara, bagi saya bukan soal politik yang patut diutamakan tapi diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada rakyat.

Najib Tun Razak dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE/SAIFUL BAHARI ASHARI
Apakah kesan sekiranya projek-projek mega tersebut dibatalkan?

NAJIB: Ada tiga kesan besar kalau kita batalkan. Satu, kita sudah berbelanja atau menggunakan sebahagian daripada pinjaman bank. Kedua, kita pasti kena bayar pampasan. Ketiga, kos dari segi kilang-kilang yang telah didirikan dan kem utama yang diwujudkan.

Kalau hendak tutup atau ganti, sudah tentu ada kos. Yang keempat, peluang-peluang yang terlepas daripada tangan kita dan ini besar. Kalau kita tak buat hari ini dan hendak buat suatu hari nanti, kosnya akan berlipat kali ganda.

Dr. Mahathir mengatakan ada syarikat menawarkan untuk membina ECRL pada kos RM10 bilion sahaja. Komen Datuk Seri?

NAJIB: Saya tak yakin. Kalau ada syarikat Malaysia boleh buat begitu, syarikat itu boleh bersaing mendapatkan kontrak di negara lain. Bolehkah dia bersaing mendapat kontrak?

Maknanya dia lebih hebat daripada syarikat Shinkansen dari Jepun dan lebih hebat daripada syarikat-syarikat dari China. Saya nampak mana ada setakat ini. Kalau dia hebat, dia sudah buat. Saya tak yakin langsung.

Tidakkah kenyataan bahawa ECRL boleh dibina pada kos RM10 bilion memberikan gambaran seolah-olah berlaku salah laku dalam projek ECRL?

NAJIB: Mana ada salah laku. Sebab syarikat ini syarikat kepunyaan Kerajaan China. Kalau hendak kata ada penyelewengan, maknanya EXIM Bank dan syarikat China Communications Construction (CCC) mesti bersubahat.

Ini sudah tentu akan menjejaskan reputasi Kerajaan China. Kerajaan China tak akan benarkan perkara ini.

Dr. Mahathir mengatakan projek ECRL ini berat sebelah dan kos terlalu tinggi. Apa komen Datuk Seri?

NAJIB: Ia ditentukan oleh Kerajaan China. Kita boleh buat perbandingan kos satu kilometer dengan projek-projek lain. Kalau kita buat perbandingan, kita ini kompetitif sebenarnya berbanding dengan projek-projek kereta api moden di negara-negara lain.

Jangan lupa, kita juga kena buat terowong paling panjang di Asia Tenggara. Sebab kita hendak elak daripada terpaksa menceroboh hutan tropika dan kita buat terowong merentasi Banjaran Titiwangsa dan sebagainya.

Ini adalah kos tambahan. Kita juga buat sambungan sampai ke Pelabuhan Klang, Pengkalan Kubor dan sebagainya. Kalau kosnya terlalu tinggi, kita boleh buat pelarasan untuk mengurangkan sedikit sebanyak.

Tapi kalau kita tak kurangkan pun, saya sudah andaikan misalnya pendapatan negara kita dalam setahun kita dapat kutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM43 bilion setahun. Kalau kita terpaksa bayar katalah RM4 bilion setahun untuk projek ECRL, kita masih mampu lagi. Itu hari ini.

Kalau dalam tujuh tahun, sebab pinjaman Export-Import Bank of China (EXIM Bank) ada moratorium tujuh tahun, dalam masa tujuh tahun mungkin hasil GST kita tidak lagi RM43 bilion. Mungkin masa itu RM70 bilion kerana ekonomi kita lebih besar pada masa itu.

Kita jangan semata-mata tengok kos atau jumlah pinjaman, tapi mesti melihat kemampuan kita hendak bayar balik. Kalau kita lihat dari segi kos sahaja, semasa kita meminjam RM10 bilion bagi membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dahulu, dari segi peratus pada KDNK lebih besar daripada pinjaman ECRL.

Ada banyak negara lain yang jumlah pinjamannya dari segi peratusan daripada KDNK lebih besar daripada kita seperti Jepun dan Singapura. Tapi soalnya adalah kemampuan kita hendak bayar balik.

Kita kena ingat, kalau kita tidak ada suntikan pelaburan dalam ekonomi kita, macam mana kita hendak capai kadar pertumbuhan enam peratus setahun?

Mungkinkah projek ECRL hendak dibatalkan kerana PH tidak menang di negeri Pantai Timur?

NAJIB: Kita tak boleh main pertimbangan politik. Kalau kita hendak dera rakyat semata-mata kerana dia tak sokong kita, tak patutlah di zaman saya buat Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang. Tapi penting kerana Lembah Klang adalah ibu negara kita.

Kalau kita hendak bersaing, Kuala Lumpur mesti menjadi satu liveable city antara terbaik di dunia. Ini bukan soal politik tapi kepentingan negara yang harus kita utamakan.

Projek yang baik dan memberi kesan patut diteruskan, bukan dibatalkan. Sebab orang Pantai Timur sekarang tertanya-tanya apa yang mereka boleh harapkan.

Esok lusa mereka mengharapkan sesuatu yang boleh memberikan perubahan besar kepada negeri-negeri Pantai Timur.

PERINGKAT KRITIKAL

Pelaburan daripada syarikat China antara isu politik yang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU-14. Kononnya, kerajaan BN dahulu menggadaikan negara kepada China. Tapi sekarang mereka pula mahukan pelaburan dari China?

NAJIB: Kita tak boleh buat andaian berdasarkan apa dia cakap sebelum pilihan raya. Sebab hampir semua hari ini yang dia buat dan cakap bertentangan dengan apa yang dia cakap sebelum pilihan raya. Satu demi satu. Jadi, master U-turn sudah jadi sebutan biasa dalam kalangan rakyat sebab jauh berbeza dengan apa disebut.

Banyak fakta yang tak betul, kita jadi mangsa terutama saya menjadi mangsa fitnah. Umpamanya, dikatakan tembok Taman Perindustrian Malaysia – China Kuantan (MCKIP) macam Tembok China. Pada hal tembok itu dikeliling kilang swasta Alliance Steel sahaja dan bukan seluruh taman perindustrian. Kilang besi swasta bukan tempat selamat untuk orang awam keluar masuk dengan sesuka hati oleh itu patut kawalan keselamatan.

Tapi Qinzhou Industrial Park di China, tiga kali saiz di Kuantan. Bila kita ada 49 peratus di sana, kita dapat 49 peratus daripada tiga kali saiz di Kuantan dan dia ada 49 peratus di sini. Jadi nampaknya kitalah lebih untung.

China juga merupakan pembeli besar minyak sawit daripada Malaysia. Ini pada saya amat dekat di hati sebab saya usahakan perkara ini dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang. Atas sebab saya lakukan itulah, mereka beli tambahan dari Malaysia.

Sebab itu sebelum pilihan raya, harga sawit boleh tahan. Ada peneroka beritahu saya sebelum pilihan raya mereka dapat pendapatan bersih antara RM4,000 hingga RM4,500. Tapi sekarang sudah merudum kepada RM1,500. Memang dalam kesusahan. Sebab kita mesti lihat kesan daripada apa yang kita buat kepada rakyat dan ekonomi tempatan.

Masalahnya kalau kita tak ada pembelian dari China, kalau kita hendak harapkan pembelian dari India, mereka hendak menaikkan cukai minyak sawit lebih daripada minyak-minyak lain. Turki pula ada krisis. Kesatuan Eropah (EU) pula ada sekatan terhadap minyak sawit kita. Jadi, siapa kita hendak harapkan beli minyak sawit kita melainkan kepada negara China.

Kalau kita tak ada pembelian yang kukuh, yang menerima kesan mungkin adalah lebih 800,000 pekebun kecil di seluruh negara dan ekonomi desa kita akan terjejas.

Apakah normal apabila berlaku pertukaran kuasa kerajaan di negara-negara lain, akan berlaku keputusan membatalkan projek dan dasar-dasar kerajaan terdahulu?

NAJIB: Di Barat, ekonomi mereka sudah matang. Jadi, peranan kerajaan itu dari segi kesan kepada rakyat tak seberapa. Kita ini masih dalam peringkat hendak sampai ke tahap negara maju. Ini pada peringkat kritikal pada saya, sebab kita sudah dikategorikan sebagai negara advanced middle income. Kita hendak sampai kepada advanced economy (ekonomi maju).

Kalau dalam tempoh masa ini kita tidak melakukan keputusan-keputusan yang amat strategik kesannya, saya khuatir impian kita tidak akan tercapai. Kita boleh kata tak mungkin tahun 2020 tapi mungkin tahun 2022 atau 2025. Tetapi cita-cita dan impian ini kita telah sama-sama lahirkan bersama untuk melihat dan memperjuangkan Malaysia sebagai negara maju.

Ini juga yang telah dikatakan teras kepada Wawasan 2020 pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad kali pertama menjadi Perdana Menteri. Jangan lupa cita-cita ini. Walaupun berbeza pendapat, kita masih perjuangkan cita-cita yang kita telah bersama-sama berkongsi impian ini.

GST, BR1M, UMNO dan ANWAR

Apabila kerajaan mahu menghapuskan BR1M, ramai rakyat membantah dan sedar akan kepentingan bantuan tersebut. Komen Datuk Seri?

NAJIB: Saya hendak jelaskan BR1M bukan satu pemberian kepada orang yang menyebabkan mereka akan terus bergantung kepada BR1M dan menyebabkan mereka malas atau rasuah politik. BR1M merupakan satu kaedah pengagihan semula pendapatan daripada golongan 60 peratus orang terkaya kepada golongan 40 peratus berpendapatan terendah.

Itu tujuan sebenarnya. Ini perlu kerana peningkatan kos sara hidup. Ini juga diuar-uarkan oleh pembangkang sebelum ini. Selain itu, kerana rasionalisasi barang-barang subsidi yang lain seperti minyak dan minyak masak.

Dahulu peruntukan lebih RM20 bilion setahun kita gunakan untuk subsidi minyak, tetapi subsidi begitu lebih menguntungkan orang kaya daripada orang miskin. Bila kita benarkan harga minyak terapung sedikit walaupun sekarang ini ada sekatan, duit yang kita jimatkan itu kita gunakan untuk BR1M.

Bila kita laksanakan GST, kita gunakan segala pendapatan itu dalam bentuk BR1M. Itu menyebabkan saya boleh umumkan tambahan BR1M menjadikan bayaran BR1M sebanyak RM2,000 pada tahun ini.

Ini semua hendak meringankan beban rakyat dalam bentuk pengagihan semula pendapatan. Dalam tempoh usaha yang kita lakukan waktu pentadbiran saya, dari segi jurang perbezaan pendapatan yang diukur dari segi Gini coefficient kali pertama ia bawah paras 0.40.

Maknanya jurang pendapatan antara yang miskin dan kaya dapat kita kurangkan. Kita bukan sahaja buat BR1M tetapi kita buat yang lain juga. Kita buat Akhiri Zaman Miskin (1Azam), beri bantuan kebajikan yang saya diberitahu akan dipotong, kita kenakan bayaran kesihatan cuma RM1 sebagai pesakit luar dan RM5 kalau jumpa doktor pakar. Itu dengar khabar akan dikaji semula. Ini semua ditampung melalui duit GST.

Sebab untuk bidang kesihatan, kita belanja RM23 bilion setahun. Ini dalam bentuk subsidi secara tidak langsung yang mana membantu rakyat dengan Klinik Rakyat 1Malaysia yang bercambah di seluruh negara. UTC ada, pergi sana kita boleh buat pasport dan jumpa doktor. Tak ada mana-mana negara di dunia yang ada perkhidmatan macam ini kepada rakyat.

Mungkin pemberian BR1M sudah tidak relevan apabila GST dibatalkan?

NAJIB: GST yang kita laksanakan sudah baik. Inflasi pun terkawal. Harga naik pun naik sedikit sahaja. Bila disifarkan GST pun harga tak turun. Saya tanya, tak ada orang kata harga turun. Semua kata harga tak turun.

Menteri pun mengaku harga tak turun. Maknanya, tujuan mereka menyifarkan GST tidak tercapai. Di samping itu, hasil negara RM43 bilion setahun terjejas. Kalau ada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pun, mereka akan dapat dalam RM20 bilion. Maknanya ada perbezaan RM23 bilion.

Selepas itu, kerana ada tempoh tiga bulan antara pemansuhan GST dan SST kerajaan tak dapat apa-apa hasil, ini yang menyebabkan isu kononnya ada RM19 bilion yang hilang dan sebagainya sebab perkiraan mereka tak betul. Mereka tak buat perancangan yang tepat hendak ganti GST dengan SST. Masanya tidak kena.

SST tidak efisien berbanding GST. Ekonomi gelap akan menjadi lebih besar dan pemindahan harga pun sebagaimana saya terangkan dalam Parlimen baru-baru ini.

Kita ambil contoh, cukai korporat di Singapura 17 peratus dan cukai korporat di Malaysia 24 peratus, jadi syarikat multinasional umpamanya lebih cenderung untuk melambangkan keuntungan lebih di Singapura sebab mereka akan bayar cukai lebih rendah.

Jadi, pemindahan harga sukar untuk kita pertikaikan di bawah SST. Jadi, akan berlakulah yang dikatakan dalam kategori aliran keluar wang haram ke luar negara. Sebanyak 80 peratus aliran keluar wang haram adalah kerana pemindahan harga. Jadi, banyak aspek sebenarnya negara akan rugi.

Rakyat biasa nampak dari segi kenaikan harga sahaja yang diuar-uarkan tapi kesan yang mereka tak sedar ini lebih buruk sebenarnya. Apatah lagi 1 September ini, tunggu sahaja harga akan naik dengan ketara.

Tidak dapat dinafikan, ramai orang Melayu resah dengan perkembangan yang berlaku sekarang. Apakah Datuk Seri menyedari keadaan itu?

NAJIB: Tak dapat dinafikan orang Melayu dalam keadaan resah hari ini. Ada orang kata gelisah. Ada beberapa kenyataan saya baca, memang kerisauan itu dirasai rakyat terutama orang Melayu. Pada saya, kita tak boleh melihat ini semata-mata dari sudut satu kaum sahaja.

Pada saya UMNO mesti berjuang untuk Melayu dan Islam tetapi orang Melayu pun perlu ambil kira kepentingan kaum-kaum yang lain juga. Kita tidak boleh menjadi parti yang ekstrem tetapi kita mesti jadi parti yang sederhana dan progresif berdasarkan prinsip-prinsip yang kita perjuangkan selama ini, keindukannya iaitu Melayu, Islam dan sebagainya.

Ini merupakan sendi utama kepada perjuangan UMNO tetapi kita tetap ambil berat pada kepentingan kaum-kaum lain.

Beberapa pihak dalam UMNO menegur Datuk Seri banyak membuat kenyataan. Bagaimana Datuk Seri melihat teguran ini?

NAJIB: Kalau saya tak buat kenyataan misalnya, tak ada pihak yang boleh memberi maklumat yang jelas dan ini merugikan UMNO dan BN. Yang kedua, ini proses pemulihan.

Kalau saya tak turun ke Sungai Kandis pun, saya tak fikir BN boleh menang. Saya kata kalau UMNO boleh menang di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, ia tak akan terima calon dari luar.

Tapi orang tempatan menolak jadi calon sebab tahu sukar hendak menang. Saya turun ke Sungai Kandis kerana saya dijemput, bukan kerana saya mahu campur urusan. Apa pun, saya hormat dengan kepemimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kami sentiasa berbincang tentang masa depan UMNO.

Ada pendapat berbeza dalam UMNO tapi diharap kita dapat membuat ketetapan lebih jelas dan tentukan hala tuju yang boleh membawa kita kepada masa depan yang kita telah alami sebelum ini.

Apakah Datuk Seri yakin Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim?

NAJIB: Kita tak terlibat sebab ini dalam Kerajaan PH. Macam mana pun kita harap ia akan melalui proses yang tidak menyebabkan ketidakstabilan politik negara. Itu persefahaman merekalah. Kena tanya kedua-dua pemimpin itu. Apa pun kita tunggu.

Masa akan menentukan. Saya akan komen bila sampai masa. Lagipun macam-macam cerita kita dengar sehari dua ini. Biar kita tengok perkembangan selanjutnya. Saya pun kenal kedua-dua pemimpin ini.

Berdasarkan ideologi dan latar belakang parti-parti dalam PH, bagaimana Datuk Seri melihat kerjasama itu?

NAJIB: Kita baru dalam 100 hari lebih sedikit. Jadi belum nampak lagi kalau ada perbezaan yang besar. Macam mana pun kalau kita tengok dari segi sejarah dan ideologi, kita tak dapat bayangkan mereka dapat tubuhkan satu pakatan dan kerajaan tapi hari ini sudah ada satu kerajaan. Tapi sama ada mereka akan bertahan atau tidak dengan berlatar belakangkan permusuhan mereka sebelum ini dan kalau kita selongkar apa Lim Kit Siang cakap pasal Dr. Mahathir, apa Dr. Mahathir cakap pasal Kit Siang, apa Dr. Mahathir cakap pasal Anwar dan apa Anwar cakap pasal Dr. Mahathir dan sebagainya, timbul persoalan sama ada pakatan itu boleh bertahan atau tidak.

Cuma masa akan menentukan. Saya tak boleh nak katakan, tapi kalau lihat daripada kata-kata mereka itu, memang begitu sukar untuk kita dapat gambarkan boleh wujud satu kerjasama macam hari ini. Kita pun tak tahu sama ada ia boleh bertahan lama atau tidak. Tapi kita hendaklah pentingkan negara dan rakyat.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker