Sistem perundangan negara dibayangi kerajaan ?

1. SEMALAM bertarikh 3.9.2018 terjadi satu lagi sejarah hitam di negara kita setelah satu persatu kepincangan pentadbiran kerajaan Malaysia Baharu berlaku di negara ini apabila kes yang melibatkan Menteri Kewangan digugurkan oleh Pejabat Peguam Negara tanpa menyatakan mengapa kes tersebut digugurkan.

2. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini hanya berkuasa kurang dari empat bulan tetapi saya tidak boleh bayangkan
kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan baharu ini dan saya tidak boleh bayangkan apa lagi yang akan berlaku pada hari-hari, bulan-bulan dan tahun-tahun mendatang.

3. Pada 3.9.2018 seluruh rakyat Malaysia disajikan dengan suatu bentuk penyalahgunaan kuasa dan
pencabulan yang paling hebat dekad ini yang telah dilakukan oleh seorang Peguam Negara yang paling
teruk pernah dilantik sepanjang sejarah pentadbiran negara ini.

4. Apabila kes yang melibatkan Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng diumumkan telah dibebaskan tanpa perlu dipanggil semula, tiada langsung penjelasan yang diberikan mengapa kes ini tidak
diteruskan. Bahkan, keadaan bertambah mencurigakan apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) pula mengeluarkan kenyataan mengatakan keputusan membebaskan Guan Eng merupakan
keputusan pejabat Peguam Negara dan bukan SPRM.

5. Siapa Peguam Negara ini? Dia adalah Tommy Thomas yang merupakan peguam Guan Eng yang mewakili beliau atas kes yang sama yang telah digugurkan. Anda semua boleh melihat? *It’s clearly a miscarriage of justice*.

6. Hanya di Malaysia perkara ini dibenarkan berlaku. Sekiranya insiden ini berlaku di luar Malaysia,
perkara yang paling asas yang patut dilakukan oleh kedua-dua Menteri dan Peguam Negara bila berada
pada kedudukan tersebut dan sesuai dengan tuntutan sumpah dan tanggungjawab jawatan mereka, mereka sudah seharusnya wajib meletak jawatan dan meminta maaf kepada rakyat negara ini.

7. Pada pendapat saya, sesungguhnya kita sangat bertuah kerana dapat hidup di dalam sebuah negara yang rakyatnya hidup dalam suasana yang tenang dan harmoni. Rakyat Malaysia adalah antara yang
terbaik, pembangkangnya terlalu civil dan berhemah tetapi keadaan tidak selalu begini.

8. Jika dulu mungkin kita masih ingat pembangkang ketika itu berterusan menghasut rakyat untuk berdemonstrasi di jalan-jalan raya sehingga menimbulkan suasana huru-hara, keselamatan rakyat
terancam dan harta awam turut musnah. Siapa yang tidak tahu perhimpunan BERSIH yang tidak bersih. Bukan setakat sekali tetapi lima kali perhimpunan haram ini dilakukan.

9. Siapa pula tidak kenal dengan dalang-dalang di sebalik perhimpunan haram BERSIH? Pencetusnya telah
diangkat sebagai ahli parlimen manakala disokong oleh ramai ahli politik yang kini ada yang telah
dilantik sebagai menteri dan sebagainya.

10. Sudah hampir empat bulan kita tidak mendengar suara MARIA CHIN yang hebat di jalan-jalan raya.
Tiada sudah suara lantang beliau mengatakan apa yang beliau lakukan adalah untuk rakyat. Suara itu
kini sudah tidak ada. Kenapa beliau tiba-tiba senyap sedangkan kini banyak isu rakyat yang perlu
beliau perjuangkan seperti janji-janji manifesto Pakatan Harapan yang gagal ditunaikan, kedudukan
ekonomi yang jatuh merudum, kenaikan harga barang seperti bekalan makanan dan lain-lain.

11. Kenapa MARIA CHIN senyap? Di Parlimen pun beliau senyap. Kenapa Maria Chin tidak gerakkan BERSIH
sekali lagi sekiranya benar perjuangan beliau untuk rakyat dan demi Malaysia. Jika tidak, mengakulah
di depan rakyat Malaysia bahawa tujuan dan agenda beliau serta rakan-rakan beliau yang menyokong BERSIH tidak lain tidak bukan adalah semata-mata untuk `mengkeldai’ rakyat, untuk mewujudkan keadaan huru-hara, meracuni fikiran rakyat untuk membenci kerajaan pada ketika itu dan yang paling penting
dan berjaya adalah untuk mendapatkan beliau kerusi Parlimen dan membantu rakan-rakan beliau ke Putrajaya.

12. Selain BERSIH, di negara ini kita juga ada Majlis Peguam yang cukup hebat satu ketika dahulu – ahli-ahli peguamnya tersohor. Majlis Peguam adalah satu lagi contoh pengkhianatan terhadap rakyat
Malaysia dan pengamal undang-undang yang telus.

13. Saya juga ingin bertanya di mana sudah suara Majlis Peguam pada saat satu demi satu pencabulan dan konflik berlaku betul-betul di depan mata anda. Kalau beginilah badan guaman yang kononnya berintegriti, relevankah lagi kewujudan badan ini?

14. Bagi menyelamatkan maruah badan ini bersama dengan peguam-peguam yang merupakan ahli badan ini, eloknya bubarkan sahaja Majlis Peguam ini atau bubarkan dengan tubuhkan parti politik baharu yang
menyokong kerajaan secara terang-terangan kerana seluruh rakyat Malaysia mengetahui hakikat sebenar kewujudan Majlis Peguam adalah untuk memenuhi agenda politik puak-puak yang telah mencapai misi mereka dengan tertubuhnya Kerajaan Malaysia Baharu pada 10 Mei 2018.

15. Trend penguguran kes berlaku satu demi satu seawal pentadbiran Kerajaan Malaysia Baharu, didahului dengan kes Rafizi Ramli, R. Sivarasa, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan kini Guan Eng. Trend ini cukup membimbangkan. Mampukah sistem perundangan negara ini berfungsi secara adil dan saksama pada landasan yang sewajarnya?

16. Bagaimana nasib pemimpin-pemimpin yang tidak berkiblatkan kerajaan sedia ada? Akan adilkah badan-badan penyiasat, pendakwa dan mahkamah yang bakal menentukan nasib mereka yang tidak menyokong
kerajaan?

17. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana keadaan kita selepas ini kalau mandat yang rakyat telah
berikanpun mereka sanggup khianati. Apa lagi sistem perundangan yang seharusnya menjadi pelindung
kepada rakyat dengan sanggup dicabul sesuka hati, keadaan ekonomi negara merudum sangat membimbangkan
di samping polisi-polisi yang tidak membawa keuntungan kepada rakyat dan negara.

18. Malah, ini diburukkan lagi dengan prestasi menteri-menteri Kabinet yang dilihat tiada seorangpun
dalam pimpinan sedia ada yang benar-benar bertanggungjawab melaksanakan amanah yang diberikan walau
telah empat bulan berlalu sejak mereka mentadbir negara.

19. Apa yang rakyat saksikan pada pimpinan kerajaan kini ada antara kalangan menteri-menteri yang sibuk membalas dendam, asyik menyalahkan kerajaan lepas dan sibuk menghapuskan segala legasi dan
kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan yang lepas kepada rakyat.

20. Inikah Malaysia Baharu yang kita mahukan untuk kita, anak-anak dan cucu cicit kita? Sesungguhnya
kita semua sebenarnya bimbang. Ini jelas dan perlu kita akui.

21. Jika dilihat di media-media sosial, ada segelintir yang melontar tuduhan dan menghina mengatakan kami pembangkang ini meroyan kerana telah hilang kuasa. Sesungguhnya kita telah kehilangan kuasa kerana rakyat mempercayai kata-kata dusta dan janji palsu mereka yang mentadbir negara kini bukan kerana mereka hebat.

22. Kita harus terus bersuara dan akan terus bersuara kerana bukan sahaja kita bersuara kerana
sayangkan negara ini. Kita perlu terus bersuara kerana setiap kita bertanggungjawwb ke atas negara ini.
Bangkit Rakyat Malaysia. Bangkit untuk Malaysia dan Bangkit demi Masa depan Malaysia yang berjaya
dan unggul!

ROSNAH HJ ABD RASHID SHIRLIN
Ahli Majlis Tertinggi UMNO/Exco Wanita UMNO Malaysia
Bekas Peguam & Pelajar IIUM
Sekian.

One thought on “Sistem perundangan negara dibayangi kerajaan ?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.