Peguam Desak Tommy Thomas Letak Jawatan Peguam Negara

PUTRAJAYA – Peguam Negara, Tommy Thomas didesak meletakkan jawatan susulan tindakan pihak pendakwaan menarik balik kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon semalam.

Desakan itu disuarakan seorang peguam, Datuk Abu Backer Sidek yang mendakwa Thomas tidak berintegriti dan mencabul undang-undang negara.

“Rakyat harus tahu siapa Thomas. Beliau adalah bekas peguam kepada Guan Eng lebih 10 tahun dan firma beliau juga banyak mengendalikan kes Guan Eng.

“Saya cabar beliau untuk menafikannya dan saya ada bukti itu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

Semalam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada prosiding berkenaan, pihak pendakwaan memohon supaya Guan Eng dan Li Koon hanya dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah.

Susulan itu, SPRM dalam kenyataannya kelmarin, terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Guan Eng daripada tuduhan itu serta menjelaskan keputusan itu bukan dibuat suruhanjaya berkenaan.

Mengulas lanjut, Abu Backer berkata, beliau hadir ke SPRM bagi membuat laporan supaya suruhanjaya berkenaan menjalankan siasatan dakwaan salah guna kuasa terhadap Thomas dan Masri.

Selain itu, beliau juga mendesak Pejabat Peguam Negara mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah. – BH

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.