Pegawai Menteri PH tiada kelayakan

BEBERAPA orang pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disahkan dipindahkan ke jabatan dan agensi lain selepas didakwa terlibat melengah-lengahkan urusan pelantikan dan pembayaran gaji pegawai kepada menteri dan timbalan menteri.

Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar mengesahkan bahawa pegawai berkenaan dikenakan tindakan tersebut ekoran masalah yang timbul berhubung pelantikan pegawai baharu anggota Kabinet.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kesemua pegawai tinggi yang ditukar itu berjumlah tujuh orang, melibatkan seorang pengarah dan enam timbalan pengarah.

Namun menurut Ismail, hanya sebahagian yang ditukar itu berkait dengan masalah urusan pelantikan dan pembayaran gaji pegawai menteri dan timbalan menteri baharu.

“Sebahagian daripada mereka (berkait dengan kes) tapi bukan kesemuanya. Kami melihatnya dari mengikut kes.

“Ini adalah prosedur biasa. Mereka sudah lama dalam perkhidmatan awam. Kita mahu beri mereka sedikit pengalaman dalam jabatan berbeza,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, tujuh pegawai berkenaan pada mulanya dihantar berkursus sebelum diarah bertukar oleh Ismail.

“Minggu lepas (mereka) sudah dapat arahan kena keluar daripada JPA, seorang pengarah dengan enam timbalan pengarah,” kata sumber yang enggan dinamakan kepada The Malaysian Insight.

Arahan pertukaran itu menimbulkan keresahan dan kemarahan dalam kalangan penjawat awam yang berpendapat mereka menjadi mangsa, walhal perkembangan yang berlaku bukanlah sabotaj ke atas kerajaan Pakatan Harapan.

Beberapa sumber sebelum ini memberitahu The Malaysia Insight pelantikan dan pembayaran gaji pegawai-pegawai baru menteri dan timbalan menteri itu tidak dapat diproses.

Sesetengah calon pegawai itu didapati tidak memenuhi syarat lantikan termasuk tiada kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebelum ini kecoh kata orang kerajaan sabotaj sebab tidak mahu lantik SUS (Setiausaha Sulit), PTTK (Pegawai Tugas-tugas Khas), SUA (Setiausaha Akhbar) dan semua pegawai menteri. Masalahnya mereka ini tidak layak dari segi akademik untuk jawatan itu,” kata sumber.

Sumber itu juga mempersoalkan tindakan tegas Ismail, yang didakwa “tunduk kepada tekanan politik”, tidak sampai seminggu memegang jawatan selepas dilantik pada 29 Ogos lalu,

“Manifesto (Pakatan Harapan) kata nak bebaskan perkhidmatan awam daripada pengaruh politik.

“Pegawai dihantar kursus tapi lepas tu ditukarkan ke jawatan lain. Kononnya sebagai isyarat kepada semua pegawai kerajaan,” katanya kesal dengan tindakan tersebut.

Lebih mengecewakan lagi kata sumber, beberapa pegawai lantikan politik menteri dan timbalan menteri sudah terlibat kes salah laku walaupun baru sahaja dilantik ke jawatan tersebut, katanya.

“Sudah berapa orang PTTK, SUS menteri kantoi?” tanyanya.

Beliau merujuk pada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pegawai kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berhubung dakwaan menerima duit sebanyak RM800,000 dari pelbagai pihak.

Pegawai itu didakwa menerima wang berjumlah RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantu menyelesaikan masalah hutang supaya namanya dapat dikeluarkan daripada status muflis.

Sumber itu juga menyebut kelakuan cabul pegawai kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman merakam bawah skirt seorang staf wanita melalui kamera telefon genggamnya, Ahad lalu.

Pegawai itu, yang dipecat serta merta oleh Azis, sedang disiasat oleh polis. – 11 September, 2018.

Malaysia Insight

One thought on “Pegawai Menteri PH tiada kelayakan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.