Patut tunggu tender HSR tutup – Najib

Kerajaan sepatutnya menunggu sehingga tender Projek Rel Berkelajuan Tinggi (hsr) Kuala Lumpur-Singapura tamat pada Disember ini sebelum membuat apa-apa keputusan berkenaannya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika maklumat kos dan pakej pembiayaan oleh pembida telah diketahui, kerajaan boleh membuat keputusan dengan lebih wajar sama ada untuk menangguhkan atau membatalkan projek tersebut.

“Pada pendapat saya, kerajaan sepatutnya tunggu sehingga tender ditutup dan semua bidaan telah diterima sebelum membuat keputusan hendak menunda atau batalkan memandangkan tender sudah dibuka sejak Januari lalu dan hanya kurang empat bulan lagi sehingga tender tutup.

“Kebiasaannya pakej pembiayaan bagi projek HSR adalah sangat kompetitif dan tidak mustahil untuk pembida-pembida memberi pakej pinjaman dengan kadar faedah kosong ataupun 0.1 peratus dan tempoh tidak perlu bayar seperti untuk projek-projek HSR di India dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, malam tadi.

Semalam, kerajaan Malaysia dan Singapura menandatangani Surat Sampingan HSR bagi persetujuan bersama menangguhkan projek berkenaan selama dua tahun sehingga 31 Mei 2020.

Persetujuan itu juga menetapkan bahawa kerajaan Malaysia perlu membayar kepada Singapura sebanyak RM45.1 juta sebagai pampasan bagi menanggung kos dihadapi Singapura terhadap penangguhan sementara tersebut.

Mengulas lanjut, Najib turut mendakwa, kos sebenar penangguhan tersebut bukanlah hanya RM45.1 juta, sebaliknya ia perlu juga mengambil kira kos kehilangan peluang (opportunity loss).

Kata Ahli Parlimen Pekan itu, hasil kajian Institut Pembangunan Ekonomi di Jepun dengan kerjasama Institut Yusof Ishak di Singapura, Malaysia mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM6.6 bilion setiap tahun melalui projek tersebut.

“Selain itu, seperti mana-mana projek infrastruktur, kos pembinaan dua tahun lagi tentu akan lebih tinggi. Ini bermakna kos sebenar penangguhan dua tahun ini ialah RM45 juta ditambah RM13.2 bilion campur kenaikan kos pembinaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

One thought on “Patut tunggu tender HSR tutup – Najib

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.