Pasca kes LGE, di mana nilai kes Khir Toyo?

Ab Jalil Backer

PEJABAT Peguam Negara boleh memberi apa sahaja alasan dan justifikasi pengguguran kes rasuah Menteri Kewangan Lim Guan Eng (LGE) minggu lepas. Hakikatnya kes tersebut tidak mungkin digugurkan jika pejabat Peguam Negara tidak diketuai oleh bekas peguam beliau Tommy Thomas.

Semua orang bercakap mengenai persamaan kes bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo dan Lim Guan Eng. Terdapat juga komen-komen mereka yang tidak mengikuti kes Mohamad Khir dengan terperinci cuba menyatakan ada perbezaan kepada inti pertuduhan yang menyebabkan Dr Khir didapati bersalah dan Lim Guan Eng dibebaskan.

Oleh kerana kedua-dua kes sudah habis perbicaraan maka orang awam bebas menulis dan mengulas tanpa berhadapan kemungkinan disabitkan pertuduhan menghina mahkamah.

Sebagai orang yang meneliti perjalanan kes Dr Khir dengan terperinci dan juga kes Lim Guan Eng, saya berani menyatakan Lim Guan Eng akan didapati bersalah jika kes tersebut diteruskan. Atas sebab itu, pejabat Peguam Negara tiada pilihan kecuali menarik semula pertuduhan di tengah perbicaraan.

Jika benar kes ini lemah seperti dakwaan pihak pendakwa, mereka boleh sahaja meneruskan perbicaraan dan membiarkan mahkamah membebaskan Lim Guan Eng. Ini akan menyelamatkan integriti dan imej kerajaan hari ini.

Hakikatnya kes Lim Guan Eng lebih kuat dan kukuh dari kes Dr Mohamad Khir Toyo. Kedua-dua mereka didakwa di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan.

Dalam kes Pendakwaraya lawan Dr Mohamad Khir Toyo, mahkamah memutuskan beliau bersalah kerana membeli barangan dengan balasan tidak setimpal dengan orang yang mempunyai hubungan rasmi dengannya.

Menurut Yang Arif Datuk Wira Mokhtarudin Baki dalam penghakiman ke atas Mohamad Khir, Perkara 165 Kanun Keseksaan tidak memerlukan sebarang bukti berlaku unsur rasuah atau suapan. Ia hanya perlu membuktikan seorang penjawat awam mendapat sesuatu barangan dengan balasan tidak mencukupi daripada seseorang yang mempunyai hubungan rasmi.

Dalam kes ini Mohamad Khir dituduh mendapat satu barangan berharga bagi dirinya dan isteri dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, yang beliau ketahui mempunyai hubungan rasmi dengannya, pada harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir dalam pembelaannya mendakwa beliau membeli sebuah rumah yang terbengkalai dan mengikut penilaian daripada penilai hartanah yang berlesen dan menggunakan pinjaman bank HSBC pada tarikh pembelian.

Dalam masa sama Shamsuddin tidak pernah dibuktikan dalam mahkamah mendapat apa-apa keistimewaan daripada pentadbiran Mohamad Khir ketika proses pembelian rumah tersebut berlaku. Malah surat sokongan Mohamad Khir ke atas syarikat Shamsuddin juga ditolak oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Manakala dalam kes Lim Guan Eng, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang bukan sahaja tahu harga rumah beliau lebih tinggi dari harga pasaran, malah penjual juga mendapat faedah daripada kerajaan negeri.

Dalam kenyataan akhbar Lim pada awal pendakwaan, pembelian banglo beliau yang berharga RM2.8 juta adalah berdasarkan “willing seller, willing buyer”. Ini alasan yang sama dengan pembelaan Mohamad Khir Toyo.

Menurut Lim, “Ini adalah transaksi ‘bebas dan rela hati’ antara saya dan penjual berasaskan dasar kesanggupan secara rela hati pembeli dan penjual. Penjual merupakan individu persendirian melalui sub jualan, dan bukan merupakan pemaju perumahan.”

Beban pembuktian melalui seksyen ini sangat mudah. Apa yang perlu dibuktikan ialah tertuduh mengetahui beliau telah membeli sesuatu barangan dengan harga yang tidak mencukupi daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan tertutuduh sebagai penjawat awam.

Dalam kes Khir beliau telah membeli rumah terbengkalai mengikut penilaian daripada Penilai Hartanah Rahim and Co daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd.

Namun beliau didapati bersalah kerana mahkamah berpendapat bahawa beliau mengetahui balasan tersebut tidak mencukupi kerana beliau tahu harga asal rumah tersebut yang dibeli Ditamas ialah RM6.5 juta.

Mahkamah langsung tidak mengambil kira hakikat rumah tersebut sudah runtuh dan separuh siap ketika dijual kepada Khir. Mahkamah Persekutuan menerima hujahan bahawa tertuduh telah melakukan transaksi pembelian hartanah dengan orang yang mempunyai hubungan rasmi dengan beliau dan balasannya tidak mencukupi.

Orang dalam kes ini, Shamsudin Haryoni, merupakan salah seorang pemilik saham syarikat Ditamas. Shamsuddin juga merupakan salah seorang pemegang saham syarikat Pengarah Urusan Roniaga Sdn Bhd yang mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan negeri Selangor.

Elemen kedua dalam Perkara 165 yang perlu dibuktikan ialah hubungan rasmi antara penjawat awam dengan penjual atau pembeli. Mahkamah memutuskan berlakunya unsur rasuah bukan perkara utama dalam pertuduhan di bawah Perkara 165 ini.

Dalam kes Lim Guan Eng hari ini, beliau dengan jelas mengakui mengetahui pembelian hartanah tersebut jauh lebih rendah dari harga pasaran.

Jika Mohamad Khir yang membeli hartanah tersebut mengikut harga pasaran oleh penilai hartanah yag diiktiraf tetapi masih didapati bersalah mustahil Lim Guang Eng boleh melepaskan diri dari hukuman apabila secara terang-terangan mengakui beliau tahu harga rumah beliau di bawah harga pasaran.

Dalam kes Lim Guan Eng pemilik rumah tersebut juga merupakan salah seorang pemilik saham sebuah syarikat yang telah diberikan lot tanah untuk pembangunan di Pulau Pinang.

Kes Lim Guan Eng lebih kuat berbanding dengan kes Khir Toyo kerana syarikat terbabit bukan sahaja mendapat tanah dengan harga yang agak meragukan, tetapi juga Kerajaan Negeri dikatakan telah menukar status tanah tersebut dari tujuan untuk pembangunan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada pembangunan komersial.

Oleh kerana keputusan kes Dr Khir Toyo telah sampai ke Mahkamah Persekutuan ia telah menjadi satu “precedent case” yang tidak boleh ditolak oleh mahkamah yang lebih rendah, maka mustahil Lim Guan Eng akan dibebaskan jika perbicaraan diteruskan.

Soalnya setelah Lim Guan Eng dibebaskan, apakah pejabat Peguam Negara ada keberanian melakukan semakan semula kes Mohamad Khir dan memberi keadilan kepada beliau?

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan nasionalis (Akar)

Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker