Najib sindir Kementerian Kewangan tidak tahu kira GST, SST

Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis mempersoalkan bagaimana Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab terhadap cukai tidak tahu pengiraan betul cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Sindiran bekas Perdana Menteri itu berikutan tindakan Kementerian Kewangan memadam hantaran berupa infografik perbandingan harga barangan di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan GST dalam laman Facebook rasmi kementerian.

Tindakan itu selepas kementerian tersebut menerima pelbagai kecaman kerana didakwa melakukan kesilapan pengiraan harga akhir barangan yang perlu dibayar pengguna berdasarkan GST.

Najib menjelaskan pengiraan untuk GST seperti dipaparkan di dalam infografik yang dimuat naik Kementerian Kewangan itu ternyata salah kerana tidak mengambil kira input cukai itu yang boleh dituntut oleh pengilang, pemborong dan peruncit.

Beliau berkata, sekiranya mengikut pengiraan yang betul, harga jualan kepada pengguna di bawah GST dengan menggunakan margin keuntungan sama sepatutnya RM152.64 dan bukannya RM171.49.

“Bagaimana sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap cukai itu sendiri tidak tahu pengiraan yang betul?

“Setahu saya, selama sembilan tahun saya menjadi Menteri Kewangan, kita tidak pernah membuat hantaran dengan pengiraan yang amat ketara kesilapannya dan tidak pernah memadamkan sebarang hantaran,” katanya menerusi catatan dalam laman Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Najib juga mengingatkan kerajaan PH supaya tidak menggunakan saluran rasmi kementerian dan informasi kerajaan untuk menipu rakyat dengan pengiraan yang ternyata salah.

“Biar rakyat menilai dengan sendiri pada hari ini iaitu hari pertama cukai SST dilaksanakan jika harga barang telah turun atau pun SST hanya dibayar oleh pengilang sahaja,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

2 thoughts on “Najib sindir Kementerian Kewangan tidak tahu kira GST, SST

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.