Najib aju 17 soalan pada Guan Eng

Datuk Seri Najib Razak mengemukakan 17 soalan untuk dijawab Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, supaya tidak terus menuding jari terhadap dirinya dalam isu menyentuh hal ehwal ekonomi negara.

Bekas perdana menteri mengemukakan soalan berkenaan atas alasan mahu membantu Setiausaha Agung DAP itu dan orang awam untuk memahami fakta serta kebenaran mengenai isu berkaitan kewangan negara.

“Nampaknya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng masih tak berpuas hati dengan jawapan dan penelitian saya mengenai hal ehwal ekonomi negara.

“Oleh itu, saya kemukakan 17 soalan untuk bantu beliau dan orang awam memahami fakta dan kebenaran mengapa beliau tiba-tiba mahu menuding jari kepada saya,” katanya dalam entri di Facebooknya, malam ini.

Antara soalan dibangkitkan Najib ialah sejauh mana kebenaran kerajaan hilang RM30 bilion atau lebih bagi pendapatan tahun ini berikutan pelaksanaan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selama tiga bulan serta pengenalan semula subsidi menyeluruh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Adakah benar Malaysia adalah satu-satunya negara dalam sejarah dunia yang menghapuskan GST dan kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pada ketika lebih banyak negara beralih kepada GST bagi meningkatkan daya saing negara mereka?

Adakah benar juga bahawa ada barang yang naik harga selepas SST dilaksanakan?

Adakah benar, sebagaimana pernah dijelaskan sebelum ini, adalah mustahil wang disatukan kerajaan hanya berbaki RM450 juta pada hujung April lalu kerana sentiasa ada ‘buffer’ dua bulan sebagai penampan bayaran gaji dan pencen sekitar RM8 bilion sebulan.

Bagaimanapun, Najib berkata Guan Eng tidak akan berani atau jujur untuk menjawab soalan dikemukakan, dan beliau terpaksa bangkitkan bagi memberi kefahaman kepada rakyat.

“Selepas ini, saya jangka (Veteran DAP) Lim Kit Siang (pula) akan mengeluarkan lagi banyak kenyataan akhbar untuk marah saya.

“Tidak dapat dinafikan Guan Eng adalah ahli politik berbakat, terutama dalam memutar belit dan gemar menyalahkan orang lain dalam meyakinkan penyokongnya, tetapi ini adalah ekonomi sebenar yang berlandaskan kepada fakta angka sebenar dan akan memberi kesan kepada kehidupan 31 juta rakyat Malaysia selain masa depan negara ini,” katanya.

“Tiada sekelumit putar belit pun akan membantu anda jika pengurusan serta dasar anda teruk,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker