Menteri Jangan Keluar Kenyataan Mengelirukan Rakyat, Kata FOMCA

SHAH ALAM – Kerajaan perlu meneliti sebarang perkara atau polisi yang mahu diuar-uarkan kepada rakyat bagi mengelakkan terus berlaku ketidakseragaman antara agensi dan kementerian terutama berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata mana-mana perkara yang masih di peringkat cadangan atau belum pasti sewajarnya tidak dihebohkan kepada umum.

“Memang betul kita lihat kerajaan dan agensi seperti Kementerian Kewangan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) hari ini tidak ada keseragaman.

“Menteri tidak boleh keluarkan kenyataan sewenang-wenangnya, sepatutnya kena rujuk Kastam sebelum keluar kenyataan sebab agensi kerajaan itu tugasnya menasihati dan menjalankan polisi kerajaan.

“Ada perkara masih di peringkat cadangan, tapi sudah dihebohkan kepada media. Tak perlulah diuar-uarkan sebab ia hanya akan kelirukan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, kerajaan mengeluarkan senarai cadangan barangan dikecualikan SST yang menyebabkan pelbagai reaksi daripada rakyat hingga menyebabkan kerajaan menarik balik beberapa item daripada senarai.

Ini termasuk cukai terhadap tambah nilai kad prabayar, ikan masin dan makanan laut.

Sebelum ini isu tambah nilai dikenakan cukai kecoh diperkatakan di media sosial dan menerima bantahan pelbagai pihak.

Susulan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan tambah nilai kad prabayar dikecualikan cukai.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berharap kerajaan segera melaksanakan pembaikan yang tepat dan segera.

“Respons kerajaan terhadap kritikan dan cadangan sangat baik jadi kita harap proses pembaikan segera dilakukan.

“Mungkin di peringkat awal ini ada yang tersilap pandang dan sebagainya seperti juga Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dulu,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.