Layak atau tidak Anwar bertanding: Peguam Negara digesa beri penjelasan

 

KUALA LUMPUR, 25 September 2018 – Peguam Negara, Tommy Thomas digesa untuk memberi penjelasan sama ada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak atau tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson, 13 Oktober ini.

Penjelasan itu perlu dilakukan segera atau paling lewat sebelum penamaan calon

Walaupun Anwar telah mendapat pengampunan tetapi jika dirujuk Perkara 48 (1) (e) menyebut: Seseorang akan hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya umum sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan.

Begitu juga dalam Perkara 48 (3) yang menyebut: Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan (d) atau perenggan (e) Fasal (1) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan, jika tidak dibatalkan sedemikian, hendaklah terhenti pada akhir tempoh lima tahun yang bermula dari tarikh penyata yang disebut dalam perenggan (d) tersebut dikehendaki diserahkan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, dari tarikh orang yang disabitkan sebagaimana yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dilepaskan daripada jagaan atau dari tarikh denda yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dikenakan ke atas orang itu dan seseorang tidaklah boleh dihilangkan kelayakannya di bawah perenggan (f) Fasal (1) semata-mata oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan olehnya sebelum dia menjadi warganegara.

Perkara-Perkara ini memberi maksud bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi Ahli Parlimen dan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang mempunyai hukuman seperti berikut iaitu penjara tidak kurang dari satu tahun atau denda tidak kurang dari RM2,000.00.

Malah, tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa sabitan keatas apa-apa hukuman adalah diketepikan oleh kerana pengampunan

Sekiranya pengampunan diberikan, tiada apa-apa pengataan yang menyatakan bahawa sabitan adalah diketepikan dan persoalan kini, adakah seseorang itu boleh bertanding mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sebelum cukup tempoh lima tahun selepas pengampunan diberikan?

Apakah ini percaturan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memastikan Langkah Port Dickson tidak menjadi kenyataan sekaligus memadamkan cita-cita besar Anwar untuk menjadi Perdana Menteri?

Percaturan ini pada hemat saya sangat licik untuk menamatkan riwayat politik Anwar.Malah pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu, Azhar Azizan @Harun yang juga seorang pengamal undang-undang secara terburu buru juga mencetuskan pelbagai spekulasi kerana tidak melalui proses akuan oleh Parlimen sebagaimana terkandung dalam manifesto PH ..

Ini barangkali merupakan satu konspirasi baharu dalam politik negara yang dicatur dengan licik oleh Dr Mahathir untuk menghalang kemaraan Anwar yang kini tidak sabar-sabar hendak kembali ke Dewan Rakyat.

Apa yang berlaku hari ini seolah-olah ‘deja vu’ 1998 apabila Anwar ketika itu dilaung-laungkan sebagai bakal Perdana Menteri oleh Dr Mahathir tetapi akhirnya dipecat dari Kabinet atas tuduhan liwat.

Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu saya berharap perkara ini tidak berlaku kerana kita sudah penat dengan politik sepanjang masa semenjak PH menang PRU14.

DATUK NAZIR HUSSIN AKHTAR HUSSIN
Ketua Pemuda UMNO
Bahagian Titiwangsa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker