Kerjasama Dari UMNO Banyak Bantu Kempen PAS Di Seri Setia- Dr Halimah

MUKADIMAH – Calon Pas, DR. HALIMAH ALI mungkin dilihat sebagai calon under dog dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia. Walau bagaimanapun, beliau yakin titik penyatuan antara UMNO dan Pas mampu memberi impak dalam meraih sokongan pengundi dalam PRK kali ini.

Ikuti temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI di Ibu pejabat Pas Selangor kelmarin.

UTUSAN: Jika dilihat, PRK DUN Sungai Kandis merupakan titik penyatuan antara UMNO dan Pas, seterusnya PRK Seri Setia. Bagaimana pula sokongan serta bantuan yang diberikan oleh parti itu?

Alhamdulillah. Saya sudah berjumpa dengan semua pimpinan UMNO Selangor termasuk Puteri, Pemuda dan Wanita. Kita memang selalu mengadakan pertemuan. Malah, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad juga sudah berjumpa saya. Difahamkan mungkin ada barisan kepimpinan yang akan datang lagi selepas ini. Saya dapati jaminan UMNO banyak membantu kita.

Kini hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum tiba hari me­ngundi. Apa strategi Dr. Halimah untuk meraih sokongan?

Saya mendapat sokongan terbaik di semua peringkat Pas. Di sini ada kira-kira 53,000 pengundi dan saya mahu jumpa seramai mungkin, namun ia agak mustahil. Dengan wujudnya sokongan serta bantuan kuat pelbagai pihak, mereka telah membantu saya melaksanakan perkara yang saya tidak dapat lakukan .

Pengalaman Dr. Halimah di DUN Selat, Klang mungkin membantu untuk mengenal pasti dan menangani isu-isu tertentu dalam hal berkaitan rakyat. Boleh jelaskan perkara ini?

Saya dapati ramai pengundi terdiri daripada golo­ngan berpendapatan rendah di pangsapuri Desa Mentari dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang. Ini antara perkara yang kita lihat terutama kepada mereka yang menaruh janji Pakatan Harapan (PH). Kini mereka sedar ini hanyalah janji manis mereka (PH). Saya akan lihat perkara ini secara menyeluruh nanti.

Ada beberapa isu terpalit kepada PH seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta isu lain. Adakah ia memberi kelebihan kepada Pas untuk menang?

Isu ini jadi ‘buah mulut’ termasuk dalam kalangan peniaga. Ada dalam kalangan mereka yang memberi perumpamaan bahawa yang turun hanyalah barang dari lori bukannya harga. Sekarang mereka dah lihat sebenarnya adakah PH cakap ‘serupa bikin’ atau tidak. Jadi secara tidak langsung pe­ngundi boleh berfikir.

Mampukah Pas men­­­­jadi medium untuk semak dan imbang jika menang dalam PRK Seri Setia?

Sekarang Pas ada satu kerusi DUN sahaja di Selangor iaitu DUN Si­jangkang. Kalau saya menang, ia menambah bilangan untuk bergabung serta berkongsi maklumat dalam menangani isu dengan lebih baik. – UTUSAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.