Keluar Umno – Bukan salah Umno

oleh AB JALIL BACKER

APA salah Umno? Demikian pertanyaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada beberapa ahli Parlimen yang umum keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas. Pertanyaan ini tepat pada masanya kerana mereka ini memenangi kerusi Parlimen atas nama Umno dan BN dalam PRU14.

Jika alasan keluar Umno kerana parti sudah dibenci rakyat, bagaimana mereka boleh menang dalam pilihan raya lalu? Ini kerana sebahagian yang umum keluar parti bukan nama besar dalam masyarakat dan mereka hanya menumpang kekuatan Umno.

Benar kata Mahdzir bahawa Umno tidak seharusnya diberi penghinaan melalui tindakan keluar parti oleh bekas pemimpinnya selepas lebih 60 tahun parti itu berjasa kepada rakyat.

Umno menang 54 kerusi Parlimen dan menjadi parti yang mempunyai kerusi terbesar dalam Parlimen. Namun tentulah ia tidak cukup besar untuk menjadi pemerintah kerana gabungan parti-parti lain.

Mereka yang keluar tentulah mempunyai pelbagai alasan. Ada kerana keperluan hidup, ada yang pernah menjadi ahli pentadbiran kerajaan lalu maka mereka terdedah kepada ‘risiko’; ada yang punya hubungan istimewa dengan pencatur politik kerajaan hari ini; dan ada juga kerana agenda politik yang belum diumumkan.

Jika mahu keluar kerana apa pun, keluarlah cara baik dan terhormat dari parti yang kamu tunggangi selama berpuluh tahun ini. Kenanglah jasa aktivis parti, makcik dan pakcik di kampung yang menyokong anda dan parti selama berpuluh tahun.

Membuat kenyataan mem­burukkan Umno apabila keluar parti hanya menunjukkan sikap tidak menghormati mereka yang menyokong kamu dan tegak mempertahankan parti dalam pilihan raya lalu walau berhadapan dengan nista dan cerca parti lawan.

Jika sesiapa mahu keluar Umno lagi contohilah langkah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang membuat kenyataan lunak dan lembut menghargai jasa parti dan penyokongnya.

Bukan salah Umno jika ada ahli Parlimennya meninggalkan parti. Ada sebahagiannya bukan pejuang politik. Mereka dibawa masuk dan diberi laluan kerana Umno mem­punyai proses mem­pelbagaikan sumber kepimpinan daripada kalangan profesional dan pegawai tadbir.

Mereka bukan pejuang, mereka hanya insan-insan cemerlang dalam sesuatu bidang yang diparacutkan ke dalam Umno.

Justeru apabila berhadapan musibah, tekanan dan gertakan musuh yang lebih kuat, sukar untuk mereka kekal istiqomah dalam perjuangan getir ini.

Tidak mustahil lebih ramai ahli Parlimen Umno akan keluar parti kerana ‘terpaksa’ atau sukarela.

Khabarnya dalam minggu-minggu mendatang para pemimpin kanan Umno akan dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Kita terima asas pendakwaan ke atas Najib Razak kerana beliau yang mempunyai akses dan kuasa membabitkan 1MDB.

Sama ada beliau salah atau benar ia akan ditentukan di mahkamah nanti. Namun usaha untuk mendakwa pemimpin politik lain merupakan satu konspirasi untuk melemahkan politik pembangkang.

Semasa wang dari akaun Najib diberi untuk sumbangan kegiatan politik dan kebajikan ia masih belum disahkan sebagai hasil dari aktiviti pengubahan wang haram. Malah sehingga hari ini ia belum dibuktikan melalui proses undang-undang.

Justeru menerima peruntukan kewangan daripada Najib bukan satu kesalahan kerana beliau adalah presiden parti, bukan ketua jenayah terancang atau seseorang yang diragui latar belakangnya.

Jika benar khabar angin mengenai beberapa pemimpin kanan Umno akan didakwa di bawah AMLA kerana menerima sumbangan daripada akaun Najib, maka ia jelas satu keputusan politik bukan keadilan.

Terdapat khabar angin kuat bahawa Bersatu sedang berusaha membawa masuk sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen Umno bagi mengukuhkan kedudukan parti tersebut.

Hari ini Bersatu mengetuai Kerajaan Pakatan Harapan dalam keadaan sangat lemah kerana mereka mempunyai 13 kerusi sahaja berbanding PKR 49 kerusi dan DAP 42 kerusi. Walaupun Tun Mahathir berjaya menguasai Pakatan Harapan termasuk melantik 5 orang menteri dari parti beliau, ia mungkin tidak akan kekal lama.

Jika dakwaan tersebut hanyalah satu khabar angin liar, maka Bersatu harus mengambil pendekatan secara terbuka mengisytiharkan tidak akan menerima mana-mana ahli Parlimen yang menang atas tiket BN sehingga tamat penggal ini.

Manakala mereka yang keluar menjadi bebas ini harus bertanya apakah segala janji sulit yang mungkin telah diberikan kepada mereka akan dapat ditunaikan? Jika manifesto terbuka pun tidak tertunai inikan janji gelap politik.

Mungkin satu-satunya kesalahan Umno ialah gagal memilih calon wakil rakyat yang setia dan kuat semangat perjuangan parti dalam pilihan raya lalu.

Sinar

One thought on “Keluar Umno – Bukan salah Umno

  • September 24, 2018 at 5:29 PM
    Permalink

    Belum 6 bulan hilang kuasa, sudah ramai pemimpin dan ahli dayus keluar parti. Rupanya UMNO yang dikatakan gagah dan kuat sebeum PRU14 hanya ilusi semata-mata. Tanpa jawatan dan kuasa, pemimpin dayus terkulai sudah.

    Najib sibuk dengan Facebook sahaja. Semasa berkuasa,senyap membisu . Panglima Syed Keruak, Rahman Dahlan,Puad , dll gagah membela. Dah jatuh membisu sahaja penglima semua

    Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.