Kecoh Chong Wei menghidap kanser hidung

Peminat badminton tanah air hari ini dikejutkan apabila tular di media sosial bahawa jaguh No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei dikatakan menghidap kanser hidung tahap tiga.

Menurut mesej tersebut, pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu dikatakan mendapatkan rawatan di Taiwan kerana masalah pernafasan, sebelum doktor kemudian mengesahkan dia menghidap penyakit tersebut.

Usaha Utusan Online menghubungi Chong Wei bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara itu bagaimanapun gagal, manakala Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Semalam, Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai memberitahu, Chong Wei akan pulang ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi selepas menjalani rawatan di luar negara kerana mengalami masalah pernafasan.

Chin Chai, yang tidak mendedahkan lokasi di mana Chong Wei berada bagaimanapun hanya berkata, proses rawatan pemain berusia 36 tahun itu berjalan baik selepas berkesempatan melawatnya baru-baru ini.

“Rawatannya dijangka selesai minggu depan. Seperti semua tahu, Chong Wei menjalani rawatan di luar negara dan dijangka pulang dalam tempoh dua minggu lagi.

“Dia masih perlu berehat selama sebulan sebaik kembali dan selepas itu doktor akan memantau serta memaklumkan sama ada dia boleh bermain semula,” kata Chin Chai semalam.

Masalah pernafasan yang dialami Chong Wei menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing serta Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu. – UTUSAN ONLINE

One thought on “Kecoh Chong Wei menghidap kanser hidung

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.