‘Dr M desak Najib lantik saya sebagai pendakwa raya kes Anwar’

Peguam Tan Sri Shafee Abdullah mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah individu yang mendesak agar beliau dilantik sebagai pendakwa raya khas dalam perbicaraan kes Liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shafee mendakwa bahawa pada 2013, perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak tidak begitu cenderung untuk melantik beliau sebagai pendakwa raya kerana mahu menjaga hati Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Malah, dia (Najib) yang paling keberatan (dalam pelantikan itu). Bagaimanapun, Dr Mahathir bertegas saya dilantik sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan Anwar kerana Dr Mahathir tidak yakin Pejabat Peguam Negara mampu menguruskan rayuan itu.

“Ini mungkin kerana Pejabat Peguam Negara sudah kalah dalam kes Liwat 2 di Mahkamah Tinggi sebelum itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Shafee berkata demikian sebagai menafikan ‘maklumat baru’ daripada Pejabat Peguam Negara yang mendakwa beliau menerima RM9.5 juta daripada Najib sebelum perbicaraan kes berkenaan.

Mkini

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.