PAU2018: Pencapaian Buruk Dalam PRU14 Bukan 100% Salah UMNO

Saya mengucapkan tahniah kepada UMNO kerana berjaya melaksanakan Perhimpunan Agung 2018 dengan jayanya – pertama kali di pihak yang berlawanan.  Lega rasanya melihat parti terbesar orang Melayu ini masih belum hilang semangat perjuangannya lanjutan dari prestasi buruk dalam PRU14.

Begitupun, setelah meneliti beberapa ucapan dasar dalam perhimpunan kali ini, saya mendapati ada pemimpin-pemimpin UMNO terlalu “merendah diri” dengan mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas kekalahan dalam PRU14 yang lepas.  Kita bercakap tentang prestasi dalam pilihanraya umum, sudah tentu UMNO sahaja tidak boleh memikul semua salahnya.

UMNO tak bertanding dalam PRU, tapi BN.

Hakikatnya, UMNO bukanlah punca utama yang membawa kepada tewasnya BN dalam pilihanraya itu.  UMNO mungkin ada ‘saham’ yang menyumbang kepada prestasi buruk tersebut tapi ada faktor lain yang lebih besar turut memainkan peranan.

Dalam PRU1999, UMNO juga menunjukkan prestasi yang buruk, termasuk kehilangan banyak kerusi parlimen, terlepas Terengganu kepada PAS selain masih gagal menawan Kelantan, tapi BN kekal kerajaan di peringkat persekutuan oleh prestasi baik parti-parti komponen seperti MCA dan Gerakan.

Perkara ini diakui sendiri oleh Presiden UMNO pada waktu itu.

Jika UMNO adalah punca utama yang membawa kepada prestasi buruk dalam PRU14, kenapa ada parti komponen BN yang bertanding atas lambang sendiri dalam PRK selepas itu, tapi masih tewas?

Dari pemerhatian saya, faktor lain seperti fitnah dan pembohongan parti lawan, prestasi hambar parti komponen dan sebagainya, turut memainkan peranan utama.  Kalau UMNO tidak mengambil kira semua ini, sekadar meletakkan semua kesalahan kepada diri sendiri, saya rasa kita tidak berada di haluan yang betul untuk kembali berkuasa.

Saya merujuk kepada pelbagai pembohongan parti lawan yang disebarkan secara meluas melalui media sosial sehari sebelum PRU14 berlangsung seperti minyak RM 1.50/liter, tol percuma, PTPTN hapus, grab hapus, gaji minimum RM 1,500 dan sebagainya yang mempengaruhi rakyat untuk tidak mengundi calon BN (termasuk dari UMNO).

Kalau kita perhatikan semua di atas, mana ada satu pun yang berkaitan dengan UMNO “secara peribadi”?

Moving forward, saya mencadangkan agar UMNO kurang atau tidak langsung menyalahkan diri sendiri atas prestasi dalam PRU14.  Hal-hal macam itu boleh dibincangkan secara sesama sendiri untuk tujuan muhasabah diri.  Tak sebut secara terbuka pun, ahli-ahli UMNO tahu dimana masalahnya.

Saya rasa, dari menunjukkan kelemahan kepada pihak musuh, pendekatan terbaik yang perlu diikuti UMNO ialah seperti yang dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang, yang menyerang parti lawan hampir setiap hari. Lagipun banyak yang dulu buruk dituduh kepada UMNO melakukannya, rupanya adalah penyelesaian terbaik bagi rakyat yang turut diteruskan mereka (parti lawan), sekarang – walaupun atas nama yang berbeza.

UMNO masih memimpin sebahagian besar orang Melayu, ini hakikatnya.  Janganlah memberikan gambaran seolah-olah 54 kerusi parlimen yang diberikan rakyat kepada UMNO dalam PRU14 yang lepas – terbesar antara semua parti-parti bertanding, tidak membawa makna walau secubit pun.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker