Semoga tabah hadapi ujian, Wanita Umno beritahu Najib

Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad hari ini merakamkan penghargaan kepada bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sepanjang menerajui parti itu.

Beliau yang mewakili pergerakan Wanita Umno juga mendoakan bekas pemimpin itu tabah menghadapi setiap ujian dalam hidup.

“Wanita Umno sangat terhutang budi kepada Datuk Seri Najib Razak kerana memimpin negara pada era yang sangat mencabar.

“Semoga beliau tabah menghadapi setiap ujian hidup dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya ketika berucap sewaktu persidangan agung tahunan parti itu hari ini.

Bermula hari ini menyaksikan parti dengan 20,730 cawangan di seluruh negara itu bersidang sebagai pembangkang buat pertama kali selepas kalah dalam pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.

Dalam pada itu Noraini juga memohon maaf kepada anggota sayap Wanita itu kerana gagal mengekalkan mandat pemerintahan pada pilihan raya lalu.

“Saya minta maaf kepada semua wanita Melayu khasnya kerana gagal mengekalkan mandat pada pilihan raya lepas.

“Saya yakin, wanita (Umno) tidak akan goyah demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

FMT

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker