Sayap UMNO mahu gagasan blok pembangkang disegerakan

Realiti politik semasa pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menuntut kepada perlunya suatu gagasan pembangkang yang bukan sahaja berkredibiliti tetapi mesti kuat, sekaligus berupaya menjadi alternatif terbaik kepada rakyat terutamanya dalam menangani kecelaruan Malaysia baharu.

Bagi maksud tersebut, Pemuda UMNO, menyarankan agar gagasan itu, yang sifatnya harus melangkaui gabungan Barisan Nasional (BN) perlu disegerakan penubuhannya tanpa menggadaikan maruah UMNO mahupun BN .

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki, kerjasama dalam kalangan blok pembangkang bukan semata-mata berkait soal kelangsungan politik, tetapi bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan ia demi agenda yang lebih besar iaitu penyatuan ummah terutama ketika martabat Islam kini diancam.

“Pemuda menegaskan yang kami mendukung sebarang usaha pucuk pimpinan untuk mencari formula terbaik bagi mewujudkan apa juga bentuk kerjasama atau gabungan pelbagai parti politik dalam blok pembangkang tetapi jangan sesekali mengorbankan maruah parti dan jangan sampai mencabut tunjang perjuangan parti,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mengulas isu yang sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad pula berkata, usaha penyatuan antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu adalah lebih kepada perpaduan dan ia pastinya tidak akan melangkaui objektif mana-mana parti.

“Wanita amat berbesar hati untuk menerima inisiatif gabungan ini. Apatah lagi apabila Muslimat Pas sudi datang pada perhimpunan hari ini. Itu sedikit sebanyak telah menunjukkan perpaduan yang kita harapkan.

“Gabungan ini mungkin kita perlu melihat daripada aspek ‘sukarelawan’ iaitu semangat persamaan dalam politik sahaja, tetapi ia semua terserah kepada Presiden untuk menentukannya,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyampaikan ucapan dasar.



Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menjelaskan, agenda perpaduan Melayu-Islam harus dilihat secara jujur dan perlu diberi keutamaan kerana sebagai kaum majoriti, orang Melayu tidak mudah dikalahkan sekiranya bersatu.

“Melayu-Islam yang berpecah akan mudah diratah oleh sesiapa pun, tetapi kesejahteraan semua kaum tetap menjadi keprihatinan kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker