Isa Samad tanding Bebas

Bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson 13 Oktober ini.

Ketika dihubungi NSTP hari ini, beliau yang juga bekas Pengerusi FELDA berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

“Saya akan buat sidang media dalam masa terdekat mungkin esok berhubung keputusan bertanding sebagai calon Bebas.

“Maaf, itu saja kenyataan buat masa sekarang. Esok saya akan umumkan secara rasmi,” katanya.



Mohd Isa juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1982 sehingga 2004 dan menjadi Ketua UMNO Teluk Kemang sejak 1978 hingga 2017.

Kerusi P132 Port Dickson kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam usahanya menjadi Perdana Menteri Malaysia Kelapan.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14), Danyal menang dengan majoriti 17,710 menewaskan calon BN, Datuk VS Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker