Apa salah UMNO? – Mahdzhir

ALOR SETAR: UMNO tidak seharusnya diberi penghinaan melalui tindakan keluar parti oleh bekas pemimpinnya selepas lebih 60 tahun parti itu berjasa kepada rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Ahli Parlimen UMNO seharusnya menghargai pengiktirafan rakyat yang mengundi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dengan terus kekal dalam parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, berkata meskipun UMNO tewas untuk mentadbir kerajaan melalui PRU-14 lalu, namun ia bukan bermaksud parti ini ditolak sepenuhnya oleh rakyat sebaliknya masih ada penerimaan daripada mereka melalui kemenangan di 54 kerusi.

“Apa salah UMNO? UMNO tolong Melayu, Cina, India… kita akui tak memperoleh cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan namun parti ini masih mendapat 54 kerusi iaitu lebih banyak berbanding parti lain… malah kita masih kekal di Perlis dan Pahang.

“Maknanya dalam konteks penerimaan keseluruhan, UMNO masih diterima bukanlah ditolak sepenuhnya jadi sepatutnya kita memberi sedikit pengiktirafan buat rakyat yang undi kita dan janganlah buat penghinaan melampau.

“Nak kata parti ini terlampau hina teruk dalam PRU-14 tidaklah begitu… kita tidak fikir ke perasaan makcik pakcik yang mengundi kita atas tiket UMNO, apa perasaan mereka bila berlakunya hal seperti ini (keluar parti), ” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan lebih ramai pemimpin UMNO terutama Ahli Parlimen akan mengikut jejak langkah Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti itu.

Mahdzir berkata, beliau percaya tindakan dibuat Ahli Parlimen Jeli dan Kimanis itu berdasarkan faktor kepentingan peribadi selain ‘banyak’ sebab lain sehingga menyebabkan mereka membuat keputusan demikian.

“Saya fikir ada banyak sebab apapun saya kira yang keluar parti ini mempunyai kepentingan peribadi, ” katanya.

Pada masa sama, ketika ditanya mengenai pendirian Mahdzir dalam UMNO, beliau berkata tidak timbul isu dirinya mahu lari dari UMNO selepas mengambil keputusan bertanding sebagai Naib Presiden sebelum memenangi jawatan itu pada pemilihan, dua bulan lalu.

Mahdzir yang juga bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, percaya situasi keluar parti itu tidak berlaku di negeri ini yang diwakili dua Ahli Parlimen dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pula ketika dihubungi mengesahkan mengambil pendekatan tetap menyokong UMNO meskipun parti itu ketika ini sedang diuji apabila beberapa pemimpinnya bertindak keluar daripada perjuangan.

“Saya ambil pendekatan menyokong UMNO, ” katanya ringkas kepada NSTP.

Related Articles

One Comment

  1. Kita merasa sedih kerana nila yang setitik..kerana seekor kerbau dan kerana nyamok..memang betul bidalan tersebut oleh orang tua tua terdahulu..mengapa kita tidak menginsafi dan muhasabah diri untuk sama sama memikul tanggungjawab ini bersama jamaah yang masih berbaki..dimana kata kata kita dahulu semasa kita dipersada pemerintahan negara..mengapa sikap kita demikian bila menang bersama bila kalah kita meninggalkan rakan2..apa yang kita nak sebenarnya..apakah niat mereka ini..ikhlas kah mereka ini berjuang utk parti..kami rakyat marhen di bawah merasa terkilan dan kecewa..di ketika kita dihina dan diperlekehkan oleh bangsa lain dan beberapa kerat bangsa sendiri, ada pemimpin yang dipilih oleh parti dan rakyat meninggalkan parti..pemimpin ini tidak ikhlas dalam perjuangan…menyuruh kami berjuang dan berjuang tapi mereka ini boleh diibaratkan dan memang sesuai utk mereka..telunjuk lurus kelinking berkait…kami tetap bersama UMNO..wahai pemimpin sama samalah kalangan kalian perbaiki kesilapan silam..tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan HIDUP UMNO….

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker