MCA tidak perlu bimbang dengan kerjasama UMNO – PAS

Share


MCA tidak perlu bimbang pada kerjasama di antara UMNO dan Pas kerana pada hakikatnya, akan berlaku peningkatan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Kekuatan ini sekaligus memberikan satu kelebihan pada pihak pembangkang, termasuk MCA sendiri, dalam menongkah landskap politik masakini yang telah berubah.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, beliau memahami kegusaran yang diajukan oleh MCA selaku parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), dan tidak menyalahkan mereka kerana pada pendapat beliau, mereka tidak mendapat gambaran yang sebenar.

“Sebagai rakan yang begitu lama dalam BN, saya yakin UMNO akan memberi penjelasan, berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini kepada MCA, juga kepada MIC dan PBRS dari semasa ke semasa,” kata beliau dalam satu kenyataan, malam ini.

KENYATAAN PENUH KETUA PENERANGAN UMNO

a. Saya fikir kita perlu akui bahawa keadaan dan landskap politik telah berubah. Maka kita mesti memahami perubahan yang berlaku ini terutama kesan selepas PRU14 lalu. Jika kita tidak menyesuaikan diri dengan perubahan ini, bimbang ia akan menyukarkan kita menghadapi keadaan yang semakin mencabar.

b. Perubahan pola pengundian dan kehendak serta tuntutan rakyat yang banyak berubah ini perlu disesuai dengan perubahan dalam parti. Kita perlu mendepani semua ini dengan penuh bijaksana dan berhemah.

c. Saya yakin UMNO memahami dan menyedari semua ini. Sudah pasti asalkan prinsip dan falsafah perjuangan parti tidak berubah, saya percaya pimpinan dan ahli UMNO serta rakyat di pelbagai peringkat akan menyokong sebarang usaha ini.

d. Bagaimanapun saya amat memahami kegusaran dan kebimbangan MCA. Namun, untuk memberikan ulasan panjang mungkin ia masih terlalu awal. Apapun, MCA tidak seharusnya bimbang dengan perkembangan hubungan UMNO PAS kerana hakikatnya akan berlaku peningkatan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu. Keadaan ini dengan sendirinya akan memberikan kebaikan bukan hanya pada UMNO, PAS sebaliknya juga kepada MCA serta rakan parti yang lain.

e. Dalam pada itu, saya tidak menyalahkan MCA di atas kebimbangannya, lantaran mereka tidak mendapat gambaran yang sebenar. Kerjasama politik yang diterokai oleh UMNO dan PAS inipun masih di peringkat dasar atau masih awal namun telah begitu baik berbanding dulu.

f. Sebagai rakan yang begitu lama dalam BN, saya yakin UMNO akan memberi penjelasan, berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini kepada MCA, juga kepada MIC dan PBRS dari semasa ke semasa. Apapun sebenarnya semua kita telahpun bekerjasama di Parlimen sekarang. Ini menunjukkan bukti kita boleh bersama.

g. Kita harap semua menyakini bahawa, perjuangan menegakkan keadilan sejagat dan menyantuni kemajmukan masyarakat, akan sentiasa dijunjung dan dimartabatkan UMNO dan ia telah buktikan sejak sekian lama. UMNO adalah parti yang sememangnya membela kepentingan Melayu dan Bumiputera. Malah sejarah membuktikan UMNO tidak pernah mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan negara.

h. Dengan pengalaman bersama sejak sekian lama, UMNO yakin dan percaya semua pihak perlu lebih terbuka dan dalam masa yang sama meneruskan dasar muafakat yang telah diamalkan. Ini adalah formula yang terbaik bagi mengelakkan sebarang tanggapan buruk dan spekulasi keterlaluan.

i. Apapun saya berkeyakinan kita akan bertambah kuat apabila PAS dan UMNO boleh berganding. Keadaan ini akan memberikan kebaikan kepada kita semua apatah lagi UMNO bukan parti rasis dan PAS bukan ekstrem sebagaimana didakwa. Saya yakin rakyat Malaysia akan menerima kita terutama pengundi bukan Melayu kerana kita mampu lebih baik daripada Pakatan Harapan. Apatah lagi rakyat nampaknya sukar menerima apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH yang diberikan mandat memimpin ketika ini.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah
Ketua Penerangan UMNO

Utusan


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *