BUANG SEMUA PARASIT DALAM FGV

FELDA GLOBAL VENTURES (FGV) bermula dengan baik sebelum menjadi masalah dengan pengurusan tertinggi dan pertengahan yang tidak profesional dan jujur.

Kemenangan Pakatan Harapan pada Mei lalu juga tidak berjaya memulihkan saham FGV. FGV berada dalam keadaan yang teruk kerana kerajaan terlalu lama membenarkan para pegawai kanan FGV seperti kaduk naik junjung.

Sehingga hari ini walau sudah bertukar Pengerusi, Lembaga Pengarah dan nama kepada FGV Holdings pun, keadaan FGV makin tenat dan memalukan.

Minggu ini, saham FGV jatuh sehingga RM1.45 seunit. Yang terburuk dalam tempoh 52 minggu. Para pegawai kanan ada yang ke luar negara sehingga tidak dapat dihubungi wartawan, ada yang disiasat dan ada yang memilih untuk bersara awal setelah berlaku pelbagai kerosakan.

Jika dulu diletakkan kesalahan ini ada pundak Isa samad, hari ini salah siapa? Pengerusi FGV yang menggantikan Isa, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid hanya mengulangi cerita lama yang telah dibangkitkan sejak Pengerusi lama.

Soalnya setelah hampir setahun beliau menjadi Pengerusi keadaan bukan sahaja tidak menjadi lebih baik, malah menjadi lebih buruk.

Beliau ulang semula kisah lebih setahun lalu, pelanggaran prosedur dalam Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP), anak syarikat FGV; pemberian kontrak pemerolehan melanggar amalan terbaik serta kekurangan kritikal pekerja antara Mei 2016 dan April 2018, yang menyebabkan kerugian kewangan melebihi RM170 juta dalam tempoh berkenaan.

Ini bukan isu baharu, ia isu lama yang cuba disiasat oleh Lembaga Pengarah FGV tetapi terhenti begitu sahaja. Mengapa Azhar mengambil masa lebih setahun hanya untuk memulakan siasatan baharu atas isu lama.

Yang menjadi hari ini ialah pemegang saham FGV termasuk peneroka dan syarikat-syarikat yang mempunyai urusan perniagaan dengan FGV. Sikap tidak profesional para pengurus dalam FGV menyebabkan syarikat terbabit mendapat nama buruk di kalangan usahawan dan ahli perniagaan.

Sudah tiba masanya Lembaga Pengarah dan seluruh pengurusan tertinggi FGV diganti supaya syarikat ini tidak terus rosak dan musnah. Sudah terlalu banyak parasit dalam FGV yang harus dipotong ke akar umbi bagi memulihkan syarikat ini.

Menukar nama FGV dari Felda Global Ventures kepada FGV Holdings tidak memberi makna apa-apa jika pengurusan kanan dan utama FGV tidak buang secara keseluruhan.

Pengerusi FGV juga harus meletak jawatan segera supaya satu pengurusan baharu yang lebih dinamik dapat dilantik untuk memulihkan syarikat.

Selama setahun beliau tidak berbuat apa-apa untuk memulihkan FGV.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker