Wakil rakyat PH turut persoal fungsi penasihat kerajaan

Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan meminta kerajaan menjelaskan peranan Majlis Penasihat Kerajaan selepas perdana menteri mengumumkan badan itu tidak akan dibubarkan buat masa ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata walaupun isu lain seperti 1MDB masih belum selesai, rakyat berhak mempersoalkan fungsi majlis itu dalam kerajaan.

“Ia badan eksekutif atau badan penasihat?

“Bukankah ada menteri yang merangka pelan untuk kementerian masing-masing dan wakil rakyat yang akan berbahas di Parlimen,” katanya.



Beliau berkata walaupun dasar majlis itu tidak jauh daripada dasar kerajaan PH, ramai orang tidak pasti apakah peranan badan itu.

Majlis Penasihat Kerajaan ditubuhkan sejurus selepas PH mengambil alih kuasa selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohmad berkata majlis itu perlu untuk menstabilkan kerajaan yang terdiri daripada para menteri yang tidak berpengalaman.

Badan penasihat 5 anggota itu diketuai bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan dianggotai Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican, Tan Sri Robert Kuok dan KS Jomo.

Semalam, Dr Mahathir berkata majlis itu tidak akan dibubarkan kerana dia masih memerlukan khidmatnya.



Beliau menambah dia tidak pernah berkata ia akan dibubarkan dalam tempoh 100 hari pemerintahan PH.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata rakyat pada awalnya mengalu-alukan majlis itu kerana PH sedang mendirikan kerajaan baharu.

Namun sekarang ini Dr Mahathir perlu jelaskan tujuannya.

“Adakah majlis mengemukakan syor tentang dasar-dasar yang dikaji atau menasihati Dr Mahathir? Beliau perlu jelaskan mengapa peranan majlis dilanjutkan dan adakah anggotanya dibayar gaji.”



Ahli Parlimen Wong Chen pula mahu kerajaan menjelaskan terma-terma pelanjutan itu dan berikan tarikh tetap pembubarannya.

Beliau bimbang majlis itu akan menceroboh skop tugas jemaah menteri dan berkata itu akan menyebabkan ketidakadilan.

“Perlu dijelaskan apakah yang akan berlaku sekiranya ada pertembungan antara majlis dan kementerian. Siapakah yang lebih berkuasa?”

Beliau berkata laporan dan syor-syor yang dikemukakan majlis itu harus didedahkan kepada orang awam.



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker