Najib persoal `kecenderungan’ Azmin terhadap pakaian dalam

Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan kecenderungan `istimewa’ Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap syarikat dalam talian yang menjual pakaian dalam.

Bekas Perdana Menteri itu `menyindir’ kenyataan Mohamed Azmin yang menjadikan pelaburan berjumlah RM80 juta dalam syarikat tersebut sebagai contoh polisi pelaburan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) telah menyimpang.

Sedangkan, kata Najib, Mohamed Azmin tidak pula merujuk kepada perolehan berjumlah RM6 bilion diraih Khazanah daripada pelaburan dalam Alibaba.

“Pada ketika ini, pelaburan dalam syarikat dalam talian di India itu masih lagi beroperasi dan adalah peneraju pasaran bagi segmen berkenaan di India serta terus memperkembangkan perniagaan mereka.

“‘Kerugian’ Khazanah dalam pelaburan ini belum boleh dipastikan lagi. Perniagaan dalam talian biasanya akan mengalami kerugian pada peringkat permulaan namun tidak boleh disangkal, ia mungkin akan meraih perolehan lebih besar pada masa akan datang,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook beliau hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin ketika sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat memberitahu beberapa polisi pelaburan Khazanah telah menyimpang dan perlu diperbetulkan.

Azmin menjadikan pelaburan berjumlah hampir RM80 juta melalui syarikat dalam talian yang menjual pakaian dalam sebagai contoh.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, hakikatnya Khazanah telah menunjukkan prestasi yang baik dengan meningkatkan nilai aset daripada RM33 bilion kepada RM134.5 bilion ketika tempoh beliau menjadi Perdana Menteri.

“Keuntungan Khazanah yang tidak disebut inilah akan diguna sebagai salah satu sumber untuk membiayai pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tahun ini seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker