Najib: Dr M tuduh syarikat China subahat rasuah?

Dakwaan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa kerajaan BN sebelum ini meminta 30 peratus saham daripada syarikat China umpama menuduh syarikat gergasi dari negara berkenaan bersubahabat melakukan rasuah.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata demikian mengulas ucapan Mahathir pada forum Pemimpin Kelab Usahawan China di Beijing hari ini.

“Hari ini di China, nada Tun Mahathir bagai berucap di ceramah politik di hadapan ahli perniagaan China dengan menuduh BN memaksa syarikat China untuk memberi 30 peratus saham syarikat mereka kepada orang tertentu.

“Adakah masuk akal kononnya kerajaan BN meminta 30 peratus saham syarikat-syarikat kerajaan China sebagai sogokan?

“Adakah Tun Mahathir menuduh bahawa syarikat-syarikat gergasi milik kerajaan China bersubahat dengan kerajaan BN untuk melakukan jenayah rasuah?’Soalnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Mahathir ketika berucap semasa Forum Pemimpin Kelab Usahawan China di Beijing hari ini mendakwa kerajaan BN sebelum ini ‘korup’ dalam menerima kemasukan pelabur atau syarikat dari China.

“Terdapat kes di mana pelabur diminta memberi 30 peratus saham kepada sesetengah orang. Itulah sebabnya berlaku kelewatan kerana orang tertentu cuba mendapatkan wang daripada pelabur,” katanya.

Menurut Najib, dua projek infrastruktur yang dilaksanakan di bawah kerajaan BN lalu ialah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sebuah projek saluran paip petroleum.

ECRL dianugerahkan kepada syarikat CCCC Ltd, manakala projek saluran paip itu diberikan kepada syarikat China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB).

“Syarikat CCCC Ltd ialah sebuah syarikat disenarai awam yang dikuasai oleh kerajaan China dan adalah syarikat yang amat besar di peringkat global dengan nilai penjualan AS$70 billion (RM280 bilion) setahun di seluruh dunia.

“Syarikat CPPB adalah sebuah syarikat pembina saluran paip petroliam terbesar di dunia dan dimiliki sepenuhnya oleh syarikat gergasi China National Petroleum Corporation (CNPC) yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan negara China,” katanya.

Menurut Najib CNPC ialah syarikat keempat terbesar di dunia dengan nilai penjualan setahun sekitar AS$300 bilion (RM1.2 trillion).

“Tun Mahathir perlu berhenti bercereka dan tunjukkan bukti bahawa tuduhannya adalah benar. Sebagai seorang Perdana Menteri, seharusnya beliau berhenti bermain politik di hadapan pelabur-pelabur luar negara,” katanya.

Mkini

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.