“Najib Beban” – Apa Pun, Annuar Musa Perlu Minta Maaf/Beri Penjelasan

Saya secara peribadi telah membaca kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa kepada sebuah portal berita pro kerajaan baru-baru ini mengenai pandangan beliau terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menjadi sensasi sekarang ini.

Atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung UMNO, sudah tentu kenyataan ini juga dilihat sebagai mewakili UMNO.

Dari apa yang saya faham sebaik selesai membaca sepenuhnya temuramah tersebut, tidak sepatah pun dalam kenyataan Annuar Musa yang hampir menyamai dengan tajuk yang dipilih portal berkenaan.  Mungkin ia datang dari kesimpulan editor portal tersebut atau bagaimana, saya tidak tahu.

Bagaimanapun, memandangkan isu ini telah menjadi viral negatif kepada UMNO, wujud keperluan untuk Annuar Musa memberi penjelasan dan dalam masa yang sama meminta maaf kepada mereka yang faham mengikut tajuk yang diberikan portal berkenaan.

Ini adalah pandangan saya sendiri berdasarkan apa yang saya baca dan faham.  Suka disebutkan bahawa, pendirian saya tidak sama sekali mewakili pendirian portal ini.

Selaku orang yang memberikan kenyataan itu, Annuar Musa boleh meminta portal berita berkenaan membetulkan tajuk itu jika ia tidak selari dengan apa yang beliau katakan atau maksudkan dalam temuramah berkenaan.

Kita pun tidak boleh menyalahkan portal berkenaan kerana mereka juga perlu sesuatu yang sensasi untuk ‘dijual’ kepada pelanggan mereka dan mungkin ada kenyataan dalam temuramah dengan Annuar Musa itu yang boleh ditafsirkan seperti itu.

Sebab itu kita mahu Annuar Musa minta maaf dan dalam masa yang sama memberikan penjelasan apa yang sebenarnya beliau maksudnya.  Ini penting kerana dalam negara menghampiri 100 hari pertama pentadbiran baru dengan masih banyak dari 10 janji belum dilaksanakan, UMNO perlu mengukuhkan parti, bukan bercakaran sesama sendiri.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.