Menteri, LGBT & Tandas Wanita: Pendapat Kaum Hawa Perlu Diambil Kira

Secara jujurnya saya tidak lagi membaca kenyataan penuh Menteri kerajaan Pakatan yang viral baru-baru ini mengenai isu penggunaan tandas wanita oleh golongan LGBT ini.  Apa yang saya difahamkan dari pembacaan di media sosial, ia tentang LGBT lelaki berpewatakan wanita, disaran menggunakan tandas wanita untuk mengelak kekeliruan di kalangan kaum lelaki semasa berada di tempat awam.

Lebih kurang macam itu faham saya, kalau lain dari itu saya minta maaf.

Apa-apa sekalipun, sebelum sebarang keputusan mahupun kenyataan mengenai perkara ini dibuat lebih lagi oleh pihak berkaitan kerajaan, seharusnya pandangan dan pendapat kaum wanita “asli” mengenai ini, perlulah juga diperolehi.  Yang nak berkongsi tandas dengan lelaki berpewatakan wanita ini ialah mereka.

Negara kita ada banyak NGO wanita yang boleh dirujuk untuk mendapatkan pandangan dalam hal ini.

Memang, isu berkaitan LGBT ini kalau ditanya di kalangan khalayak yang biasa hari ini, tidak begitu ramai yang ambil peduli, sesetengahnya mengambil mudah sahaja sebab tidak berlaku kepada mereka atau keluarga mereka.  Selain itu, ada juga berpandangan, selagi tak menganggu sesiapa, tak jadi masalah pada kebanyakan kita.

Tapi bila dah berkongsi tandas awam yang sama, itu dah jadi cerita lain.  Jika berlaku macam itu, masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada kaum wanita itu sendiri tapi golongan suami, bapa yang mempunyai anak perempuan, adik yang mempunyai kakak, abang yang mempunya adik perempuan dan sebagainya.

Pendek kata, ia sudah jadi masalah universal dah sekarang.

Tanggapan bahawa kaum ini sudah dibuang alat kelaminnya dan maka itu tidak menjadi hal untuk mereka menggunakan tandas wanita, tidak mengubah hakikat bahawa mereka masih lagi seorang lelaki – dipandang dari sudut mana punlah (kecuali perwatakan).  Tak sebut lagi kemungkinan berlaku penyamaran untuk mengambil kesempatan dari “kebebasan” yang diberikan.

Lagipun, harrasment atau gangguan ini tidak semestinya berlaku melalui sentuhan atau berkaitan dengan alat kemaluan sahaja tapi juga dari pelbagai cara.  Pandangan, perkataan, perbuatan dan sebagainya.

Seperkara lagi, cadangan di masa depan, perkara-perkara macam ini seharusnya dimasukkan dalam manifesto pilihanraya dan diulas secara panjang lebar semasa kempen.  Bukan apa, nanti tidaklah rakyat rasa tertipu semasa mengundi.  Masa nak pangkah harap lain, bila dah terpilih, perkara-perkara macam ini pulak yang mendapat perhatian dulu.

  • sumber gambar, Internet

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.