Kereta nasional ketiga: Jangan bebankan rakyat untuk realisasi impian pemimpin -Ka Siong

Kerajaan dinasihatkan supaya tidak membebankan rakyat semata-mata untuk merealisasikan impian atau meneruskan legasi seseorang pemimpin dengan meneruskan projek yang akan menelan belanja yang banyak seperti projek kereta nasional ketiga.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, berdasarkan kepada fakta dan statistik sedia ada, kerajaan sedia maklum bahawa bukan mudah bagi projek kereta nasional ketiga itu untuk berjaya dan sekiranya berjaya, ia akan menelan kos dan masa yang banyak.

“Proton yang diperkenalkan sejak tahun 1983 hanya berjaya mencatat eksport sebanyak 20,000 hingga 30,000 buah. Mengikut laporan kewangan bagi tahun terakhir sebelum ia dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia, Proton mencatat kerugian sebanyak RM88.2 juta, walaupun menerima bantuan kewangan secara berlanjutan daripada kerajaan.

“Dengan meneliti statistik yang ada, saya tidak nampak apakah potensi industri automotif di negara ini, sebaliknya pelbagai subsidi dan perlindungan yang bakal diguna pakai oleh kerajaan bagi tujuan melindungi kereta nasional bakal membawa implikasi negatif kepada pembangunan industri automotif negara ini secara keseluruhannya.

“Akibatnya, rakyat terpaksa membeli kereta luar negara dengan harga yang jauh lebih mahal daripada mana-mana negara di dunia ini, hanya kerana kereta luar negara dikatakan ‘mengancam’ kedudukan kereta nasional,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker