Jangan guna alasan tutup hutang lama – Najib

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh lagi menggunakan alasan mahu menutup hutang lama sebagai sebab utama pihak kerajaan terbaru itu untuk tidak mampu menolong rakyat sebaliknya kadar itu masih rendah dan terkawal.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana hutang kerajaan pada tahap 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan dianggap tinggi jika dibandingkan dengan tahap 80 peratus hingga 103.4 peratus pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri suatu masa dahulu.

Beliau berkata, nisbah perbelanjaan hutang kerajaan berbanding hasil kerajaan pada tahap 12.5 peratus tahun lepas juga tidak setinggi pada era Dr. Mahathir dahulu pada 1980-an dan 1990-an iaitu di antara 20 peratus ke 30 peratus, malah ia pernah mencecah setinggi 31.8 peratus.

“Defisit kerajaan tahunan pada era saya juga menurun setiap tahun sejak tahun 2009 dan jauh lebih rendah daripada defisit enam tahun terakhir Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu.

“Hutang patut dilihat bersama dengan peningkatan pendapatan dan aset negara yang naik dengan pesat ketika saya menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, tiada satu pun agensi kewangan luar negara yang menyifatkan Malaysia dalam kelompok bahaya, malah kita mendapat pengiktirafan gred A,” katanya dalam akaun Facebook miliknya, malam tadi.

Katanya, penelitian daripada laporan Bank Negara terkini menunjukkan walaupun harga minyak global masih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini, pendapatan kerajaan untuk bulan Jun lalu adalah sebanyak RM14.1 bilion, jauh lebih rendah dari RM20.9 bilion pada bulan Mei lalu akibat cukai barang dan perkhidmatan (GST) disifarkan.

Katanya, keadaan bertambah teruk kerana kerajaan PH juga tidak menjangka peningkatan mendadak tuntutan balik GST yang perlu dibayar sebaik ia disifarkan.

Ini kerana, katanya, peniaga kini boleh menuntut kesemua cukai input GST bahan mentah mereka serta-merta, sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya.

“Pakatan mula mendakwa kerajaan lalu bakal bankrap sejak tahun 2010. Pada tahun itulah, Menteri Kewangan kini juga pernah berucap kepada media antarabangsa di Hong Kong bahawa Malaysia bakal bankrap.

“Walaupun Pakatan sudah lama mendakwa Malaysia bakal bankrap, kerajaan Barisan Nasional lalu memperkenalkan banyak skim bantuan rakyat,” katanya.

Malah, kata Najib, bantuan tersebut juga dinaikkan apabila pendapatan kerajaan naik. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker