GST: HARAPAN buat silap besar dalam dunia – Bos Mydin

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat kesilapan besar apabila ingin melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata secara praktikal GST lebih efisien.

Malah katanya jika isu ketirisan yang menjadi masalah besar, Ameer berkata pelaksanaan SST lebih banyak membuka ruang untuk itu berbanding GST.

Sebagai seorang ahli perniagaan, Ameer turut berpendapat, langkah betul yang perlu diambil kerajaan HARAPAN bukanlah menggantikan GST sebaliknya menurunkan kadar yang ditetapkan.

“Misalnya rendahkan kepada dua atau tiga peratus berbanding enam peratus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya perkara berkenaan tidak akan berlaku memandangkan HARAPAN sebelum ini telah pun berjanji kepada rakyat untuk menghapuskan GST.

“Saya rasa kerajaan akan membuat kesilapan besar dalam dunia. (Laksanakan SST) ini kesilapan, ini ego, sebab mereka ini orang politik.

“Mereka dah buat janji dan kena tepati janji, kalau tidak rakyat marah pula. Saya rasa itu masalahnya,” kata Ameer dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Ketirisan boleh dielak

Menurut beliau kerajaan HARAPAN menekankan azam mereka tidak mahu membebankan rakyat ketika kutipan GST sebelum ini ialah sebanyak RM44 bilion.

Justeru katanya mereka akan melaksanakan SST namun itu nanti akan membuat hasil kutipan kerajaan menurun kepada kira-kira RM22 bilion saja.

Dalam keadaan begitu katanya cara yang betul ialah mengurangkan kadar GST daripada enam kepada tiga peratus.

“Peniaga pun tak perlu susah dan tak perlu ubah apa-apa sistem yang sebelum ini dah dibelanjakan.

“Dan yang paling mustahak, ia tak ada ketirisan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan sama ada GST atau SST yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Kerajaan HARAPAN berhasrat untuk melaksanakan SST bermula pada 1 September depan. Ia sebagai menunaikan salah satu antara janji gabungan itu dalam 100 hari pertama mereka berkuasa.

Ekoran pelaksanaan SST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjangkakan kira-kira 6,400 jenis barangan akan dikenakan SST berbanding 11,197 barangan yang dikenakan GST sebelum ini.

Terdapat 470,000 syarikat pengeluar yang berdaftar dengan sistem MyGST dan kira-kira 70,000 daripada jumlah itu akan dipindahkan ke dalam sistem MySST secara berperingkat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengatakan, SST akan dikenakan ke atas barang-barang yang lebih sedikit berbanding GST – khususnya 38 peratus barangan yang membentuk “bakul barangan” indeks harga pengguna (CPI) berbanding GST yang lebih 60 peratus.

Harga barang lebih mahal

Ameer yang telah menjalankan perniagaan sejak 1980-an turut memberi penjelasan mengenai perbandingan harga sekiranya SST dilaksanakan.

Menurutnya, jika cukai SST dikenakan pada kadar 10 peratus, harga barangan- selain makanan segar dan dalam tin – akan melambung naik bebeza semasa GST dilaksanakan.

“GST lebih telus dan efisien cuma masalahnya kadarnya terlalu tinggi. Kerajaan boleh turunkan harga tapi kerajaan perlukan duit, itu kita faham.

“SST pula lebih terdedah kepada ketirisan kerana hanya satu peringkat sahaja dan sukar untuk diawasi.

“Semua orang setuju, dan kerajaan pun setuju (SST terdedah kepada ketirisan) tapi mereka kata tak apa sebab mereka akan buat denda dan harap orang akan ikut,” katanya.

Namun menurut Ameer kerajaan sebenarnya “sudah terlambat” untuk berundur daripada janji yang diikrarkan sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Nasi sudah menjadi bubur, sebab mereka semua ini ahli politik,” katanya.

Menjelaskan mengenai bagaimana SST akan memberi kesan terhadap harga barang, Ameer memberikan contoh sekiranya kadar cukai berkenaan terbahagi kepada tiga iaitu sifar peratus, lima peratus dan 10 peratus.

Memiliki lebih 70 pasar raya di seluruh negara, Ameer menerangkan meskipun angka kadar cukai berkenaan merupakan satu andaian namun sebagai seorang ahli perniagaan yang terlibat dengan proses rantaian bekalan, pengilangan, mengedar serta menjual, beliau berkata harga barangan berubah mengikut kadar SST.

“Kita (Mydin) buat semua, sudah tentu kita tahu. Sudah tentu ia andaian.

“Kalau nak senang kita ambil begini: pengilang biasanya ambil keuntungan dalam 20 peratus, ini margin. Sudah tentu ada yang ambil keuntungan 15 peratus, 25 peratus tetapi ini kita andai secara umum. Kita perlu andaikan sesuatu dan berikan angka.

“Pemborong pula akan ambil (keuntungan) lima atau 10 peratus sahaja begitu juga dengan pengedar.

“Kalau di butik, margin keuntungan ialah 300 peratus. Baju kalau beli dengan harga RM100, ia akan dijual dengan harga RM400. Kalau di pasar raya contohnya di Mydin, kami beli RM100, jual RM120.

“Jadi kita ambil margin 20 peratus (pengilang), 10 peratus (pengedar) dan 20 peratus (penjual). Kalau kita ambil pengiraan begini, semua barang yang SST sifar peratus akan murah berbanding enam peratus GST.

“GST mempunyai tiga peringkat tetapi diakhirnya hanya enam peratus,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sekiranya barangan yang dikenakan SST pada kadar lima peratus, harga barangan itu pada akhirnya mempunyai harga hampir sama semasa GST dilaksanakan.

“(Jika lima peratus) maknanya tiada beza jika kerajaan melaksanakan SST atau GST, harganya sama.

“Tetapi jika ada barangan yang dikenakan 10 peratus SST, harga barang akan mahal. Tak boleh cakap tak akan ada barang yang tak naik harga,” jelas Ameer lagi.

Untuk gambaran lanjut, pembaca boleh merujuk jadual yang disediakan di bawah ini.

Jangan batalkan GST lagi

Selain itu, dalam wawancara sama, Ameer turut menggesa agar kerajaan menyenaraikan segara barangan yang akan dikenakan SST.

Katanya, ia bagi memudahkan ahli perniagaan untuk melabel serta menulis harga barangan sekiranya ia diimport.

“Saya tak tahu kenapa nak tangguh umum kadar (terhadap barangan). Sekurang-kurangnya kita perlu tahu, September tinggal sebulan sahaja lagi. Barang yang dah dipesan dah nak masuk, harga nak kena tulis.

“Kalau naik lima peratus, kena naikkan harga lima peratus. Kalau 10 peratus, kena tukar harga. Barang kita dah pesan enam bulan lalu,” katanya.

Sehubungan itu, Ameer juga memberi cadangan kepada pihak kerajaan agar tidak terburu-buru membatalkan GST.

Menurutnya, sebelum pelaksanaan SST ingin dibuat, kerajaan perlu cuba menurunkan kadar GST terlebih dahulu bagi memberi gambaran sama ada ia bagus untuk negara atau tidak.

“Kalau kerajaan nak buat sangat SST, buatlah. Tapi boleh tak mereka buat GST satu peratus dulu, dari situ kerajaan akan tahu. Jadi janganlah mansuhkan dulu.

“Sekarang kerajaan dah rugi beberapa bilion sebab nak tunggu SST.

“(Jika tak jadi batal GST) mereka boleh minta maaf, cakap: saya silap, mari kita laksana GST dua peratus bukan mansuhkan.

“Tapi mereka takut. Saya rasa mereka lupa yang mereka sekarang yang mentadbir negara. Saya rasa rakyat akan faham (jika tidak jadi hapuskan GST),” kata ahli perniagaan berusia 62 tahun itu lagi.

MKini

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.