Azmin mahu tindakan diambil terhadap ahli serang pemimpin secara terbuka

Ambil tindakan ahli serang pemimpin secara terbuka

Jawatankuasa disiplin PKR dan Pakatan Harapan (PH) seharusnya mengambil tindakan ahli-ahli yang didapati melakukan serangan terbuka terhadap mana-mana pemimpin parti.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu juga bukan sekadar menyentuh masalah disiplin sahaja malah melibatkan kewibawaan seseorang tokoh untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dalam mana-mana parti.

“Ini berdasarkan penjelasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad malam tadi yang harus dilihat sebagai satu nasihat yang perlu digalas semua pihak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas tentang serangan terbuka yang dilakukan oleh beberapa tokoh yang dikatakan berada dalam kem Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap kepemimpinan PH termasuk Dr. Mahathir.

Hari ini, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang menyatakan sokongan terhadap Rafizi mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Mohamed Azmin berjaya mempertahankan jawatan nombor dua dalam parti itu.

Abdullah Sani turut mendakwa Mohamed Azmin dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berpakat untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui parti-parti komponen PH.

Semalam, Dr. Mahathir dalam majlis makan malam yang dihadiri menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen PH telah mengingatkan mengenai kekurangan disiplin dan pertelingkahan dalaman parti akan menyebabkan kejatuhan gabungan itu. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker