Adakah Kerajaan Malaysia bohong ? DoJ nafi terbabit pemindahan Equanimity.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) hari ini menafikan terbabit dalam urusan pemindahan hak kapal layar mewah Equanimity antara kerajaan Indonesia dan Malaysia.

Makluman berkenaan dibuat DoJ kepada Mahkamah Daerah California Tengah dalam proses kemaskini maklumat mengenai perkembangan kes kapal layar itu, sekali gus mengulangi pendirian bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak terbabit dalam urusan pemindahan Equanimity.

Kenyataan DoJ itu dilaporkan sebuah portal berita yang menyatakan Equanimity Ltd, dalam pemfailannya selaku penuntut kapal layar berkenaan, mendakwa kerajaan AS bekerjasama atau membantu dalam penyerahan kapal layar itu dari Indonesia ke Malaysia.

Sebagai maklum balas terhadap dakwaan Equanimity Ltd, DoJ menyatakan tidak terbabit dalam proses pemindahan kapal yang kini berada dalam jagaan kerajaan Malaysia.

“Dalam urusan surat menyurat baru-baru ini dengan kerajaan, pihak menuntut Equanimity , iaitu Equanimity Ltd mendakwa kerajaan AS bekerjasama atau membantu dalam penyerahan kapal layar dari Indonesia ke Malaysia.

“Bagaimanapun, selain tindakan yang digariskan dalam Perenggan 7, yang mana kedua-duanya adalah perlu dan sesuai bagi mengekalkan keselamatan kapal layar itu, kerajaan AS tidak mempunyai peranan dalam memindahkan kapal layar itu dari Indonesia ke Malaysia,” katanya.

Namun, laporan portal itu menyatakan DoJ ada memaklumkan anak kapal Equanimity yang dilantik kerajaan AS untuk mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia selepas syarikat pengurusan Equanimity bertanya sama ada mereka patut berbuat demikian atau tidak ketika ia dalam pelayaran dari Pulau Batam bagi proses pemindahan.

Selain itu, portal berkenaan turut melaporkan bahawa dalam Perenggan 7, kapal itu tidak akan dibiarkan tanpa penjagaan dan kru, sekali gus mengekalkan kontrak dengan Wilson Yacht Management (WYM) sehingga 7 Ogos lalu.

“Ia bersesuaian dengan nasihat DoJ yang dibuat pada 15 Jun lalu bahawa pihak pengurusan harus mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan Indonesia,” katanya.

Portal itu menyebut makluman DoJ itu bertentangan dengan kenyataan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, termasuk kenyataan di keluarkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong, yang sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan AS bersetuju dengan pemindahan hak penjagaan Equanimity.

Kenyataan DoJ itu dilihat menyokong kenyataan peguam Equanimity yang menyatakan tindakan Malaysia dan Indonesia itu mengatasi kuasa mahkamah termasuk Mahkamah Pusat California.

Dalam kemaskini pemfailan itu, DoJ turut menyenaraikan pelbagai langkah yang diambil bagi mematuhi arahan mahkamah pada 15 Mei lalu, bagi memberi perlindungan kepada Equanimity sehingga ia dibawa balik ke perairan AS bagi urusan penjualan.

“Biarpun Equanimity Ltd sebelum ini menentang jualan kapal layar berkenaan, syarikat pengurusan kapal layar itu kini bersetuju ia dijual di Pameran Bot Antarabangsa Fort Lauderdale.

“Namun, pihak berkuasa Indonesia tidak pernah memindahkan hak penjagaan kapal itu kepada Equanimity Ltd atau kepada kerajaan AS, biarpun diarahkan berbuat demikian oleh Mahkamah Wilayah Jakarta Selatan pada 17 April lalu,” katanya.

Pada masa sama, laporan itu turut menyebut bahawa kerajaan AS sudah membuat persiapan membawa pulang Equanimity sejak Jun lalu dan merangka pelan pelayaran pulang yang sepatutnya dibuat pada 11 Julai lalu atas arahan kerajaan AS.

Pelan itu termasuklah bagi mengisi minyak kapal, mendapatkan visa dan dokumen lain selain kelulusan membayar gaji kru Equanimity yang tertunggak.

“Dengan kelulusan kerajaan AS, WYM juga mengupah syarikat perkhidmatan marin AS bagi membenarkan Equanimity berlabuh sementara di Guam menerusi sijil yang diperoleh pada 27 Julai lalu.

“Kerajaan AS mengetahui bahawa Indonesia sudah mengarahkan kapal layar itu belayar ke lokasi berhampiran sempadan maritim Indonesia-Malaysia pada 1 Ogos, dan kemudian memberitahu peguam Equanimity Ltd mengenai perkara itu.

“Namun, hanya selepas itu, barulah DoJ dan kerajaan AS mengetahui bahawa Equanimity diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia dan dibawa ke Pulau Indah, berhampiran Pelabuhan Klang, pada 7 Ogos lalu,” katanya.

Berita Harian

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker