Abdullah Sani dakwa penyokong Zuraida mahu ‘telanjangkan’ isteri

Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani mendakwa isterinya diugut penyokong Zuraida Kamaruddin yang mengugut akan “telanjangkan” dia selepas mengkritik calon naib presiden itu menjelang pemilihan PKR 2018.

Abdullah berkata isterinya, Datin Faezah Ariffin, menerima rakaman audio ugutan itu semalam.

“Bila dia kritik Zuraida, Zuraida hantar orang untuk ‘balun’, ‘telanjangkan’ isteri saya,” katanya kepada pemberita di ruang legara Parlimen hari ini.

Abdullah tidak pasti sama ada ugutan itu berupa ancaman fizikal atau bukan, namun satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Raja semalam.

Zuraida adalah ketua Wanita PKR dan akan bertanding naib presiden parti pada pemilihan bulan depan. Beliau juga menteri perumahan & kerajaan tempatan.

Faezah di satu majlis di Seremban 11 Ogos lepas berkata Zuraida selaku ketua Wanita tidak membawa banyak perubahan dan menjadi punca pelbagai kepincangan semasa menerajui sayap itu.

Faezah adalah calon naib ketua Wanita PKR pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, Zuraida ketika ditemui pemberita di Parlimen berkata dia tidak tahu menahu tentang ugutan itu dan menafikan dakwaan dia menghantar orang untuk “telanjangkan” Faezah.

“Saya rasa orang cakap itu dalam bahasa metaforik. Nak telanjang itu nak dedahkan, bukan nak telanjangkan fizikal dia. Saya tak rasa begitu…saya tak tahulah apa-apa,” katanya.

Zuraida mengalu-alukan siasatan oleh pihak berkuasa ke atas dakwaan Abdullah itu.

Cabar Azmin

Sementara itu, Abdullah mencabar Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuktikan dia sudah melanggar perlembagaan parti.

Beliau menjawab kenyataan Azmin hari ini yang menyerahkan kepada lembaga disiplin PKR dan Pakatan Harapan melihat tindakan yang wajar terhadap Abdullah, yang baru-baru ini menuduh ketua penasihat Putrajaya di belakang kempen menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Mereka kata kata-kata saya menyalahi perlembagaan parti. Jika benar, tunjukkan peruntukan mana? Saya sedia menunggu sehingga ke mahkamah,” kata Abdullah.

Beliau memberitahu FMT bahawa kepimpinan PKR bermesyuarat hari ini dan satu keputusan akan dibuat.

“Saya tak takut,” katanya. “Kalau mereka rasa saya menyalahi perlembagaan parti, saya sedia tunjukkan bukti.”

Azmin hari ini berkata serangan peribadi terhadap pemimpin parti dan gabungan itu melampaui masalah disiplin semata-mata.

Terdahulu Abdullah dilaporkan mendakwa Anwar akan berdepan masalah mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir jika Rafizi gagal menewaskan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan timbalan presiden pada pemilihan akan datang.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker