Johari Abdul berminat mahu pimpin Kedah

Naib Presiden PKR, Datuk Johari Abdul mengakui beliau lebih berminat untuk menjadi pemimpin di Kedah berbanding memegang jawatan di peringkat Pusat.

Sehubungan itu, katanya, tawaran untuk mengosongkan ke­rusi Parlimen Sungai Petani yang disandangnya bagi memboleh­kan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sentiasa terbuka.

“Saya akan berasa bangga jika beliau menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani kerana saya merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, bayangkan apa yang akan jadi dengan Kedah.

“Saya mahu bangunkan Kedah kerana negeri ini sekarang adalah yang kedua tercorot di negara ini dan saya bersedia jika diarahkan memimpin Kedah,” katanya selepas menghadiri majlis Ulang Tahun Ke-20 Reformasi di sini malam tadi.



Sebelum ini, sejurus Pakatan Harapan (PH) menawan Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tular dalam media sosial surat watikah pelantikan Johari sebagai Menteri Besar Kedah.

Namun perkara itu tidak berlaku apabila Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Jitra daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Ma­hathir mengangkat sumpah jawatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Johari berkata, sekiranya diarahkan ‘bertugas’ di Kedah, beliau tidak mahu memegang jawatan Exco.

“Exco berilah kepada pemim­pin junior, saya sudah lama. Saya ada visi untuk bangunkan Kedah kerana negeri itu ibarat sebuah restoran yang mempunyai bahan mentah lengkap dan bersedia untuk dibangunkan,” katanya.



Sementara itu, Mukh­riz menganggap kenya­taan Johari itu cuma pandangan peribadi­nya kerana kedudukan jawatan Menteri Besar sudah dipersetujui oleh semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Kedah diberikan kepada Bersatu.

“Mungkin itu satu komen peribadi beliau tetapi sebelum ini sudah ada perbincangan berkaitan dengan hal itu jadi terpulang kepada dia. Apa arahan daripada kepimpinan tertinggi kita akur,” katanya di sini hari ini.

Mukhriz juga berkata, persoalan tentang pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan juga tidak harus dijadikan polemik kerana ketetapannya ialah selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad, Anwar akan jadi Perdana Menteri.

Menyentuh tentang perubahan kedudukan Menteri Besar setelah Anwar menjadi Perdana Menteri, kata Mukhriz, perkara itu belum diputuskan.



“Itu saya tak pasti. Keputusan melantik Menteri Besar terletak di tangan Perdana Menteri setelah berbincang dengan semua pemimpin dalam parti komponen,” katanya.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker