‘Bukan 2, tapi hampir 5 puak wujud dalam pemilihan PKR’

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail mendakwa pemilihan parti kali ini menyebabkan kewujudan lebih daripada 2 kem.

Calon naib presiden itu berkata, hampir 5 puak wujud di peringkat cabang, bukannya hanya kem Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

“Pemilihan kali ini seakan-akan nampak 2 kumpulan kerana jawatan timbalan hanya dipertandingkan satu lawan satu, sebab itu ia jadi tumpuan dan ahli parti kena buat pilihan antara 2,” katanya kepada FMT.

“Di peringkat cabang ada 5 calon, ia membentuk 5 kem. Di peringkat Pemuda PKR lebih 3 calon, sama juga di peringkat Wanita, naib presiden, termasuk di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).”

Azan bagaimanapun berkata, kewujudan banyak puak atau kem melambangkan kesuburan proses demokrasi dalam PKR.

“Ia melambangkan demokrasi paling tinggi dalam sejarah PKR, ia diterjemah melalui pencalonan begitu ramai.”

Serangan peribadi

Mengenai serangan kumpulan pro-Rafizi kepada kem Azmin, Azan menyifatkan ia “kreativiti” dalam usaha meraih undi.

“Terpulang kepada kumpulan dan individu untuk berusaha meraih undi, mereka bebas menjalinkan kerjasama dalam satu kumpulan.

“Mereka bebas menunjukkan kebolehan masing-masing untuk tawarkan kepada ahli apa misi dan cadangan mereka menerajui parti,” katanya yang bersetuju dengan gesaan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ahli berkempen secara matang dan tidak menggunakan kedudukan untuk membeli undi.

Ahli MPP itu yakin Anwar tidak akan berpihak kepada mana-mana kem dalam pemilihan parti kali ini.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dilaporkan mendakwa Anwar akan berdepan kesukaran menjadi perdana menteri, jika Rafizi gagal menewaskan Azmin untuk jawatan nombor 2 dalam pemilihan parti itu.

Pecah tradisi

Mengenai pencalonannya merebut jawatan naib presiden, Azan berkata, langkah itu bertujuan memecahkan dominasi calon dari pantai barat, utara dan selatan negara.

“Sejak PKR mula ditubuhkan sehingga sekarang, belum pernah ada seorang calon dari negeri pantai timur berani menawarkan diri tanding jawatan naib presiden.

“Saya individu pertama dari pantai timur tawarkan diri,” katanya yang berharap boleh memenangi jawatan itu dan menjadi penghubung antara negeri dan pusat.

Lebih 800,000 ahli PKR di seluruh negara akan memilih pemimpin baru daripada jawatan timbalan presiden sehingga peringkat ranting, mulai bulan depan menggunakan sistem pengundian dalam talian atau e-undi.

Jawatan presiden tidak dipertandingkan, selepas Anwar menang tanpa bertanding dalam pencalonan 5 Ogos lalu, tetapi tumpuan terletak pada jawatan timbalan presiden antara penyandang, Azmin dan pencabarnya, Rafizi.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker