Penganalisis nampak perang terbuka antara puak dalam PKR

Seorang penganalisis politik memberi amaran “perang terbuka” dalam PKR antara puak setia kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali dan pencabarnya, Rafizi Ramli, susulan dakwaan campur tangan dalam pemilihan parti akan datang.

Kamarul Zaman Yusoff menganggap kenyataan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad, dari kem Rafizi sebagai pengisytiharan untuk perang.

Sani dan Idris, merujuk dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melihat puak Azmin diperkukuhkan dan pengaruh Presiden baru PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin lemah, menuduh Tun Daim Zainuddin, sekutu Dr Mahathir campur tangan dalam pemilihan PKR.

Sani menamakan Daim antara pihak yang mahu menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri seperti dalam perjanjian pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya umum Mei lalu.

Beliau mendakwa sukar untuk Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir jika Azmin kekal sebagai timbalan presiden PKR.

Idris pula mendakwa Dr Mahathir dan Daim mendalangi sesetengah pemimpin PKR untuk memusnahkan parti itu dari dalam.

Kamarul berkata, Sani dan Idris adalah contoh sekutu Anwar yang diketepikan pentadbiran Dr Mahathir.

“Mereka mungkin hanya pemimpin peringkat tengah, tetapi apa yang mereka kata mempunyai pengaruh kerana mereka adalah wakil rakyat terpilih dan bertanding jawatan penting dalam parti.

“Ini tidak baik untuk PH. Ada spekulasi perselisihan antara Dr Mahathir dan Anwar serta cubaan untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri. Jadi, apabila seorang pemimpin PKR bercakap mengenainya, ia seolah-olah mengesahkan spekulasi itu.”

Katanya, kerosakan kepada PH boleh dielakkan jika Rafizi atau Anwar memberitahu penyokong mereka tidak mengkritik Dr Mahathir secara terbuka.

Beliau turut mendapati Rafizi sendiri mengelakkan penggunaan retorik yang digunakan Sani dan Idris.

Katanya, peluang Azmin untuk menang mungkin terjejas jika beliau tidak menolak dakwaan itu, tetapi menteri hal ehwal ekonomi itu mungkin mendapat kelebihan daripada persepsi ahli PKR yang kem Rafizi menggunakan taktik tidak menyenangkan.

James Chin dari Universiti Tasmania percaya dakwaan Sani ada kebenarannya kerana ia bukan rahsia “sesetengah orang” mahu menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

“Saya rasa mereka yang cuba menghalang Anwar berbuat demikian mahu Dr Mahathir mengetuai PH ke pilihan raya umum akan datang. Mereka tahu mereka boleh menang lagi jika Dr Mahathir masih berkuasa.”

Beliau mendakwa ramai yang tidak selesa dengan Anwar menjadi perdana menteri.

“Penting untuk ingat pembangkang pernah cuba memenangi pilihan raya umum di bawah Anwar, tetapi gagal sehingga Dr Mahathir mengambil alih.”

Beliau menjangkakan Azmin akan menafikan dakwaan terhadapnya, tetapi persepsi beliau disukai Dr Mahathir akan kekal.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker