PKR jangan jangkitkan perangai buruk anda kepada PH – Pemimpin PPBM

Seorang pemimpin PPBM hari ini mengingatkan “rakan-rakan” dalam PKR bersikap lebih beradap dalam kata-kata mereka dan hanya bercakap tentang hal ehwal parti sendiri tanpa perlu memfitnah pemimpin parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan hari ini berkata, beliau tertarik dengan komen beberapa pemimpin PKR yang mendakwa perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mahu menyekat Anwar daripada menjadi pemimpin negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu yang jelas merujuk kepada ucapan seorang Ahli Parlimen daripada PKR Sabtu lepas yang mendakwa terdapat usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri berkata, pemimpin atasan PKR perlu bersikap tegas dan membuktikan mereka tidak bersetuju dengan sikap biadap jika tidak mahu rakyat menganggap mereka meredai fitnah dan perangai buruk yang ditunjukkan.

Beliau berkata, tuduhan liar dan fitnah mungkin menjadi budaya orang lain, tetapi ahli PPBM diajar oleh Dr Mahathir untuk menghormati semangat setiakawan dalam PH.

Bercakap dalam satu acara di Seremban bagi menyokong pencalonan Rafizi Ramli, yang mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kerusi timbalan presiden dalam pemilihan PKR bulan depan, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani berkata, terdapat usaha untuk menyekat Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdullah secara berterus-terang dilaporkan berkata, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin merupakan antara individu yang berusaha menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri sebagaimana dipersetujui pimpinan PH sebelum pilihan raya umum lepas.

“Dalam kami menghormati persahabatan yang dibina, janganlah ada pemimpin parti lain yang celupar memfitnah semata-mata kerana nafsu mahu mengejar jawatan dunia,” kata Wan Saiful lagi.

Katanya, perangai buruk tidak berakhlak bukanlah budaya yang hendak dibentuk dalam gabungan PH, dan PKR tidak seharusnya mengheret orang lain ke dalam perpecahan dalam parti itu.

“Perangai buruk tidak berakhlak bukan budaya yang kita mahu bentuk dalam gabungan PH. Jangan heret orang lain masuk ke dalam perpecahan teruk parti sendiri,” kata beliau.

Dalam satu perjanjian ditanda tangani pemimpin parti komponennya sebelum pilihan raya umum lepas, PH bersetuju menamakan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir untuk jawatan perdana menteri.

Walaupun tempoh masa tertentu tidak dinyatakan, Dr Mahathir mengisyaratkan beliau akan memegang jawatan itu selama 2 tahun, atau lebih lama lagi sekiranya rakyat mahukannya.

FMT

Related Articles

One Comment

  1. Isu berkaitan tentang kebebasan dan hak samarata golongan LGBT sedang hangat diperkatakan sekarang. Sedangkan Anwar pernah masuk penjara kerana ketaksubannya kepada lubang kunyit. Jadi, lebih baik perihal pengambilalihan jawatan PM kepada Anwar jangan dibincangkan dahulu.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker