Penafian Singapura memalukan Malaysia – Zahid

Penafian Singapura bahawa berlaku pertemuan antara pihaknya dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) disifatkan sebagai memalukan Malaysia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana Malaysia disifatkan sebagai ‘pembohong besar’ dan mereka-reka cerita untuk menyedapkan hati rakyat.

Katanya, jika benar, pihaknya tidak faham mengapa perkara itu perlu dibohongi, adakah semata-mata mahu membuktikan kepada rakyat bahawa HSR masih ada dalam jadual pembangunan atau sekadar menunjukkan betapa Pakatan Harapan (PH) benar-benar melaksanakan tugasnya.

“Selepas kerajaan mencipta penipuan paling besar mengenai kedudukan hutang negara, kini kita disuakan pula dengan pelbagai tipu muslihat oleh kerajaan. Belum pun tiga bulan memerintah, kerajaan sudah banyak melakukan ‘silap mata’ terhadap dasar dan janji manifestonya untuk PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).

“Usahlah banyak memutar belit dan mengada-adakan ‘fakta tidak benar’ untuk menutupi kelemahan dan kesalahan. Ini negara kita bersama dan masa depannya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin semalam memaklumkan beliau mengambil peluang bertemu pegawai kanan rasmi Singapura untuk berbincang mengenai HSR dalam kunjungannya ke Singapura Ahad lalu.

“Semalam (Ahad), saya ke Singapura melawat Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri), dan saya ambil peluang bertemu pegawai kanan rasmi Singapura untuk berbincang mengenai HSR. Ia berlangsung dengan positif,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Walau bagaimanapun, ketika ditemui pemberita hari ini bagi mendapatkan penjelasannya berhubung penafian Kementerian Pengangkutan Singapura tentang pertemuan tersebut, Mohamed Azmin mengakui beliau memang tidak berjumpa dengan pegawai kementerian berkenaan.

“Betul (yang saya tidak bertemu dengan pegawai Singapura). Bila saya sebut semalam, adakah saya katakan yang saya berjumpa dengan pegawai Kementerian Pengangkutan?” katanya seperti dilaporkan Bernama. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker