JKM tamatkan bantuan 41,800 penerima – Wan Azizah

Kira-kira 41,800 penerima ditamatkan bantuan kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat antara Januari hingga Jun tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata ia disebabkan pelbagai faktor seperti meninggal dunia iaitu sebanyak 11,874 kes; tukar skim bantuan lain (4,242 kes); tidak memenuhi kriteria kelayakan (4,090 kes) dan berpindah ke luar daerah (3,132 kes).

Sebanyak 2,635 kes pula kerana penerima telah mampu berdikari; 22 kes dirujuk ke agensi lain selain 15,820 kes lain-lain faktor seperti telah pulih dari penyakit dan mempunyai sumber pendapatan.

“Setiap bantuan yang ditamatkan akan dimaklumkan kepada klien dengan surat yang dijana melalui sistem e-Bantuan. Di samping itu orang awam juga boleh membuat semakan dalam talian melalui sistem e-Bantuan berkaitan status permohonan bantuan mereka,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai aduan terdapat bantuan kebajikan yang telah dihentikan tanpa sebarang pengumuman pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan kebajikan kepada 485,866 penerima melibatkan peruntukan berjumlah RM839 juta sehingga Jun tahun ini.

“Adalah dijangkakan sehingga hujung tahun ini, sebanyak RM1.5 bilion peruntukan diperlukan bagi menampung perbelanjaan melibatkan bayaran bantuan bulanan dan bantuan sekaligus,” katanya.

Mengenai isu proses permohonan bantuan kebajikan yang mengambil masa terlalu lama untuk mendapatkan maklumat balas, Dr Wan Azizah berkata terdapat beberapa faktor menyebabkan keadaan itu antaranya faktor beban kerja kerana bilangan permohonan yang tinggi.

Contohnya, sehingga Jun tahun ini, terdapat 71,864 permohonan kes baharu yang diuruskan oleh hanya 1,919 petugas.

Purata nisbah beban kes siasatan permohonan baharu ialah seorang pekerja kes bagi setiap 37 kes (1:37), manakala nisbah bagi kakitangan yang mengendalikan kes aktif pada tahun 2018 sebanyak 485,866 kes ialah seorang pekerja kes bagi 253 kes. – Bernama

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker