UMNO selar kerjasama PH, IRI untuk jatuhkan kerajaan BN(video)

UMNO selar kerjasama PH, IRI

UMNO membidas Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan campur tangan asing menerusi International Republican Institute (IRI) bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pihaknya memandang serius pendedahan Presiden IRI, Daniel Twining, mengenai ‘kerjasama dengan parti pembangkang sejak 2002’ itu.

Menyifatkan kerjasama itu sebagai kegiatan khianat, kotor dan keji, Shamsul Anuar menggesa satu badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat hubungan dan kerjasama IRI dengan parti komponen PH, khususnya DAP.

“Ini pakatan jahat yang perlu disiasat oleh pihak berkecuali. Memandangkan pihak kehakiman dan pihak penguat kuasa lain sudah berada di bawah genggaman mereka, satu badan khas harus dibentuk untuk kes ini supaya siasatan yang adil dapat dilaksanakan.

“Tidak ada gunanya lagi mereka mengambil pendekatan ‘one-way street’ iaitu menyiasat orang lain tetapi tidak mahu dirinya disiasat. Rakyat Malaysia perlu bangkit segera agar negara tidak tergadai terus.

“Kami menggesa Majlis Raja-Raja mengambil pendirian dalam perkara ini secepat mungkin, dan bertindak bagi menyelamatkan rakyat dan negara daripada menjadi seperti Yaman, Libya, Iraq dan Syria, serta lebih utama membenarkan campur tangan asing terhadap negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 17 Julai lalu, Twining mendedahkan, IRI bekerjasama untuk mengukuhkan parti pembangkang di Malaysia sejak 2002, menerusi dana National Endowment for Democracy (NED), dalam satu forum anjuran Center for Strategic and International Studies (CSIS).

Twining berkata, selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau bertemu dengan pemimpin baharu Malaysia yang rata-ratanya pernah bekerjasama dengan IRI, manakala seorang pemimpin kanan yang berada dalam kerajaan memuji IRI yang tidak berputus asa terhadap mereka.

IRI memiliki kaitan dengan Parti Republikan menerusi Senator Amerika Syarikat (AS), John McCain yang menjadi pengerusi sejak 25 tahun lalu, namun beliau melepaskan jawatan itu pada Jumaat lalu.

Shamsul Anuar berkata, pendedahan Twining itu mengesahkan dakwaan beberapa pihak sebelum ini mengenai ‘kemewahan’ ejen media sosial PH menggunakan dana asing, selain menelanjangkan rupa sebenar DAP, khususnya pemimpin veterannya, Lim Kit Siang serta rakan ‘demokratiknya’.

“UMNO mencabar Lim Kit Siang menafikan perkara ini secara terbuka, dan bersumpah kepada rakyat Malaysia bahawa apa yang dikatakan oleh Twining itu adalah bohong.

“Gerakan yang menjual maruah negara ini sungguh menyedihkan kerana apa juga hasil kerjasama dengan agensi asing ini mencerminkan betapa Malaysia ‘mudah dibeli’ atas nama demokrasi.

“Mereka yang melakukannya sangat tidak bertanggungjawab serta membelakangkan kedaulatan negara,” katanya.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker