Ada apa dengan surat kepada CIA?

oleh Ab Jalil Backer

SEBELUM 9 Mei lalu tidak ramai rakyat Malaysia, apatah lagi orang luar, mengetahui kewujudan Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO). MEIO sebuah organisasi intelijen (risikan) negara yang bertanggungjawab mengumpul maklumat di dalam dan luar negara serta membuat rumusan penting kepada keselamatan negara.

Kebanyakan negara di dunia mempunyai agensi perisikan mereka. Ada yang sudah dikenali seperti CIA (Amerika Syarikat), MI6 (England), Mossad (Israel), ISI (Pakistan), KGB, FSB, SVR (Rusia); dan ada juga yang menjalankan kerja-kerja ini secara senyap-senyap.

Agensi perisikan ditubuhkan kerana kerajaan memerlukan pelbagai maklumat sulit dan tersembunyi bagi menjaga keselamatan dan kepentingan negara dan rakyat. Malangnya, selepas kemenangan Pakatan Harapan, mereka tidak lagi boleh membezakan antara tanggungjawab kepada negara dan ketaasuban politik.

Mempolitikkan isu surat Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) bukan sahaja mendedahkan agensi perisikan Malaysia kepada umum, tetapi juga mewujudkan krisis kepercayaan dalam kalangan diplomat dan juga ahli perniagaan ke atas kerajaan Malaysia hari ini.

Jika surat seperti ini didedahkan tanpa melalui proses perundangan dan protokol tertentu, sukar untuk melihat negara lain mempunyai kepercayaan dengan kerajaan Malaysia pada masa depan.

Hanya ada dua pihak yang mempunyai akses surat tersebut iaitu MEIO dan CIA. Mustahil dalam masa tidak sampai beberapa minggu surat menjadi kerajaan tersebut sudah sampai kepada pengetahuan Lim Guan Eng dan tersebar dalam internet kecuali ia dilakukan oleh pihak yang memiliki akses maklumat.

Sukar untuk percaya MEIO yang selama ini bergerak di bawah radar memilih untuk mendedahkan surat tersebut. Jika bukan MEIO, tentulah CIA yang memberi “tips” kepada kerajaan Pakatan Harapan hari ini.

CIA sudah diketahui umum satu-satunya agensi perisikan yang tidak segan silu masuk campur dalam hal ehwal negara lain, hatta sehingga kepada membantu menjatuhkan sebuah kerajaan.

Jadi dalam keadaan ini, mereka yang waras akan bertanya apakah hubungan CIA dengan Pakatan Harapan?

Jika dilihat mereka yang bersungguh memainkan isu surat ini sebagai penderhakaan dan pengkhianatan kepada negara adalah Ahli Parlimen dari DAP. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, paling ke hadapan dalam memperkatakan mengenai surat ini walau bukan dalam bidang kuasanya.

Beliau dilaporkan berkata siasatan terhadap isu surat kepada CIA itu perkara penting kerana melibatkan hal kedaulatan negara. Lim cuba mengaitkan surat tersebut dengan bekas Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai menjemput campur tangan asing dalam hal ehwal negara.

Jika kita membaca keseluruhan kandungan surat tersebut jelas tiada sebarang permintaan campur tangan CIA ke dalam politik negara. Apa yang dibuat oleh MEIO ialah memberi “taklimat bertulis” mengenai keadaan politik negara; DAN meminta agar CIA tidak masuk campur dalam politik negara ini walaupun jika BN menang tipis.

CIA memang diketahui umum mempunyai rekod mencetuskan huru-hara bagi menukar kerajaan. Atas sebab itu MEIO meminta CIA jangan masuk campur jika keputusan pilihan raya umum memihak kepada BN dan Najib dengan keputusan tipis.

Apakah pengkhianatan yang dilakukan jika surat tersebut jelas merupakan satu tindakan diplomasi secara lembut untuk memberitahu CIA supaya jangan masuk campur dalam hal-ehwal politik negara ini?

Jika ini dianggap sebagai pengkhianatan kepada negara, maka jelas pemimpin kerajaan hari ini jahil dalam diplomasi antarabangsa.

Sebenarnya secara tersirat dan dalam nada diplomasi surat tersebut membawa makna MEIO mengetahui ada usaha CIA untuk campur tangan dalam politik Malaysia.

Justeru kita tertanya-tanya, adakah surat ini didedahkan untuk menutup sebarang hubungan parti tertentu dengan CIA sebelum pilihan raya lalu?

Apakah pendedahan dan pemesongan makna surat ini dibuat kerana khuatir MEIO ada maklumat mengenai hubungan parti atau individu tertentu dengan CIA atau agensi perisikan negara jiran? Dalam keadaan demikian sudah tentu jalan paling pintar ialah memusnahkan kredebiliti MEIO terlebih dahulu.

Jika tidak, mengapa Kerajaan PH Harapan dan DAP begitu gelabah sehingga perlu merosakkan maruah dan imej agensi perisikan negara dan berterusan mengaitkan sepucuk surat biasa sebagai pengkhianatan kepada negara?

Saya khuatir kisah surat ini seumpama cerita rakyat dari Indonesia. Ia mengenai seorang maling (pencuri) dalam kampung yang pertama menjerit “maling! maling! maling! sambil mengejar sesuatu. Orang kampung pun turut mengejar bayang-bayang pencuri, sedangkan pencuri sebenar berada dalam kalangan mereka. Semoga ALLAH selamatkan negara ini.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)
Sinar Harian

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker