AZMAN JAWAB AZMIN

KHAZANAH UNTUNG RM100 BILION, AZMAN JAWAB AZMIN

Bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) Tan Sri Azman Mokhtar, menjelaskan secara terperinci dua pelaburan Khazanah yang mendapat liputan meluas media baru-baru ini dalam nota mesejnya sepanjang lima muka surat.

Bagi pelaburan melibatkan sya­rikat e-dagang pakaian dalam wanita, Zivame di India, beliau ber­kata, Khazanah melihat ia da­lam pelbagai faktor asas yang ku­kuh terutama pasaran di negara tersebut yang mempunyai lebih 1 bilion pengguna dengan setengah daripadanya adalah wanita.

Menurutnya, golongan lelaki di negara tersebut mendominasi sektor peruncitan secara fizikal sekali gus memberi satu pengalaman buruk kepada golongan wa­nita untuk membeli pakaian dalam dan dengan peningkatan dalam pendapatan, kadar penembusan mu­dah alih serta peningkatan penggunaan internet menjadikan ia peluang untuk kaum itu membeli-belah dalam talian.

“Kami melabur kira-kira AS$19 juta (RM80 juta) untuk kepenti­ngan 22 peratus dan pada Disember lalu, kami memutuskan menyediakan sepenuhnya akaun 2017 sebagai langkah konservatif seperti dilakukan bagi pelaburan teknologi.

“Bagaimanapun, Zivame kekal menjadi kebimbangan dan sebenarnya baru sahaja mencatat suku terbaik tetapi kami tetap yakin ia akan pulih dalam jangka masa se­derhana atau hampir kesemua yang kami usahakan.’’ katanya.

Beliau memberitahu, dalam apa jua keadaan, seperti semua penilaian keseluruhan pelaburan perlu melihat dalam perspektif yang mempunyai risiko sama di India bagi sektor pengguna dalam syarikat daripada penjualan cat rumah hinggalah kepada barang kemas, di bawah apa yang dipanggil Projek Bilion untuk menjana lebih RM1 bilion keuntungan direalisasikan dan tidak direali­sa­sikan sehingga kini.

Pada masa sama katanya, di Ali­baba sahaja, satu lagi syarikat e-dagang dalam talian Khazanah mencatat keuntungan lebih RM6 bilion dan ia sebenarnya adalah keuntungan untuk membiayai ban­yak pelaburan teknologi termasuk di Zivame.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menimbulkan persoalan mengenai polisi pelaburan Kha­zanah yang menyimpang da­ri­pada landasan termasuk mela­bur sebanyak RM80.9 juta dalam syarikat pakaian yang menjadi sebab kerajaan merasakan keada­an di Khazanah perlu diperbetulkan.

Selain pelaburan tersebut, Kha­­­zanah turut berdepan dengan satu lagi pelaburan yang menimbulkan tanda tanya.

Awal minggu ini, akhbar Singa­pura The Straits Times mela­porkan Khazanah melaksanakan strategi pelaburan rahsia yang diberi kod nama Operasi Twist pada pertengahan 2008 me­libatkan pel­bagai portfolio pela­buran di Eropah dengan mele­takkan wang sebanyak RM3 bilion kepada Luq­man Arnold yang merupakan bekas Jurubank UBS melalui kumpulan pelaburan beliau iaitu Olivant yang menguruskan pela­buran bernilai tinggi di Eropah.

Operasi Twist kemudiannya berubah kepada Operasi Merah yang kemudiannya mengambil alih kira-kira 2.6 peratus kepen­tingan dalam UBS yang mana Oli­vant dan Santander Bank da­ri Sepanyol meru­pakan rakan pe­la­buran berkenaan.

Bagaimanapun perjanjian ter­sebut gagal berikutan Lehman Bro­thers diisytiharkan muflis pa­da hujung September 2008. Kese­luruhan pegangan dalam UBS te­lah diuruskan oleh bank berke­naan mengakibatkan Khazanah kehilangan pelaburannya bernilai RM3 bilion.

Mengenai UBS, Azman menjelaskan pelaburan dalam UBS menerusi Olivant hanya melibatkan kerugian berjumlah RM1.7 bilion dan bukannya berjumlah RM3 bi­lion seperti dilaporkan sebelum ini.

Katanya, peruntukan dan kerugian yang diiktiraf adalah sejajar dengan piawaian perakaunan dan standard berhemah walaupun pada satu tahap mencapai 97 peratus peruntukan yang dibuat melibatkan pelaburan berjumlah RM3.6 bilion.

“Menerusi kerja-kerja pemulihan yang teliti, lebih separuh atau 53.5 peratus daripada nilai pelaburan atau RM1.9 bilion telah dipulihkan.

“Kajian semula dalaman oleh ahli lembaga bebas dengan input daripada KPMG mendapati bahawa kes itu jelas tiada salah laku dan proses pelaburan serta kelulusan daripada ahli lembaga telah dipatuhi,” katanya dalam nota berkenaan.

Azman menjelaskan, faktor pen­ting dalam kerugian tersebut adalah akibat kecuaian dan pela­nggaran perjanjian pemegang saham oleh pengurus dana, Olivant.

“Perkara berkaitan yang perlu diperhatikan adalah ia merupakan kes undang-undang, klausa kerahsiaan yang mengikat secara sah membataskan jumlah pendedahan awam yang boleh dilakukan. Walaupun demikian, klausa kerahsiaan membantu memudah­kan proses pemulihan yang teratur.

“Sekalipun, kerugian itu secara dasarnya adalah besar, ia dilakukan sebagai sebahagian daripada operasi pelaburan yang kebia­sa­annya tertakluk kepada risiko pelaburan yang mana dalam kes ini, SWF mengalami kerugian lebih besar berbanding kami yang membuat pelaburan dalam saham perbankan global,” jelasnya.

Menurutnya, perkara itu juga perlu dilihat dan dinilai dalam kon­teks keseluruhan prestasi port­­folio pelaburan dengan lebih daripada RM82 bilion keuntungan bersih dicatatkan dalam tempoh sembilan tahun mulai 2008 hingga 2017 (RM33.7 bilion Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) dicatatkan pada Disember 2008 kepada RM115.6 bilion pada Disember 2017).

“Sebenarnya, seperti yang telah saya katakan dalam dialog bersama kakitangan baru-baru ini, perlu diperhatikan bahawa jumlah keuntungan kami sepanjang tempoh ini adalah kira-kira RM100 bilion dengan 10 syarikat teratas mencatat keuntungan sebanyak RM92 bilion manakala 10 syarikat yang mencatat kerugian terbesar berjumlah kira-kira RM19 bilion (Malaysia Airlines Berhad (MAB) atau dahulu MAS sahaja pada RM8.4 bilion diikuti Silterra pada RM5.5 bilion dan Olivant berada di tempat ketiga pada RM1.7 bilion.

“Dalam terma pelaburan, ini bermakna keuntungan kami me­le­­bihi jumlah kerugian dengan faktor 5:1. Dalam istilah bola se­pak, ia seperti memenangi permainan dengan jaringan 5-1,” tambah Azman.

Utusan

One thought on “AZMAN JAWAB AZMIN

  • August 6, 2018 at 11:09 am
    Permalink

    Benda2 macam ni pun Menteri Ekonomi nak besar2kan. Kalau boleh mahu ditularkan berminggu-minggu. Dalam pandangan masyarakat biasa (bukan pandangan pakar ekonomi), keuntungan akhirnya akan dilihat secara keseluruhan. Bukan dilihat secara pecahan pelaburan. Boleh tengok dan boleh kaji kenapa rugi, tetapi bukan untuk dispin dan diputarbelit. Jika keseluruhan pelaburan rugi lain cerita. Untung rugi itu adat berniaga dan nisbah 5:1 itu sudah jelas menunjukkan kesungguhan pihak Khazanah menjalankan tanggungjawabnya.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *