Azmin diramal lawan Anwar

Pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam barisan Ahli Lembaga Pe­ngarah Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) merupakan isyarat bahawa beliau amat berkelayakan dan seterusnya diramal menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.

Selepas diberi tanggungjawab memegang portfolio penting sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, kedudukan Mohamed Azmin di dalam Khazanah memberikan beliau kekuatan dari segi ekonomi dan korporat dengan mengawal beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) yang mempunyai nilai pasaran terkumpul mencecah RM100 bilion.

Keberadaan Timbalan Presi­den PKR itu dalam Khazanah menggambarkan kualiti kepe­mimpinan beliau sehingga dilihat mengatasi Lim Guan Eng kerana kebiasaannya Menteri Kewangan yang akan berada dalam lembaga pengarah syarikat pelaburan milik kerajaan tersebut.

Penganalisis politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul menganggap langkah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat Moha­med Azmin boleh diterjemahkan sebagai usaha membawa beliau ke tahap yang lebih tinggi termasuk sebagai Presiden PKR.

“Dengan menjadi­ seorang menteri ka­nan dan kini berada dalam Khazanah membawa satu me­sej yang penting. Ia satu pengiktirafan kualiti Moha­med Azmin sebagai pe­mimpin.

“Beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor, berjaya membentuk sokongan yang kuat dalam kalangan ahli PKR terutama di Selangor iaitu kubu terkuat partinya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada masa sama, Ainul Adzellie tidak menolak andaian bahawa mereka yang tidak berada dalam kem yang menyokong Rafizi Ramli akan berpihak kepada Mohamed Azmin, antaranya Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan beberapa lagi anggota Kabinet daripada PKR.

Pemilihan PKR akan berlangsung ber­mula Ogos hingga pertengahan Oktober ini.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, kedudukan sebagai anggota Kabinet dan pengarah Khazanah sedikit sebanyak menanam keyakinan dalam kalangan ahli akar umbi PKR terhadap Mohamed Azmin.

“Berdasarkan rekod, saya jangka Mohamed Azmin tidak akan melawan Anwar. Namun dalam politik tiada apa yang mustahil,” katanya.

Beberapa penganalisis po­litik dan bekas ahli PKR berpanda­ngan mereka yang tidak berada dalam kem Rafizi akan cenderung ke arah Mohamed Azmin.

Utusan

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker