Yayasan keluarga saya – Zahid (video)

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, dakwaan penyalahgunaan dana sebuah yayasan yang dikaitkan dengan beliau sebenarnya merupakan yayasan milik keluarganya yang ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti amal.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, dana yayasan itu turut dibiayai oleh beliau sendiri selain sumbangan beberapa rakan yang ingin melakukan kebajikan.


Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau akan hadir ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok untuk memberi keterangan mengenai dakwaan tersebut dan beberapa isu lain yang berbangkit.

Malah, Ahmad Zahid berkata, beliau sedia memberi kerjasama sepenuhnya termasuk mengemukakan keterangan yang diperlukan oleh agensi itu secara telus.

“Saya telah diminta untuk menjelaskan beberapa isu antaranya mengenai sebuah yayasan dimiliki oleh keluarga saya sendiri yang ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja amal seperti pembinaan masjid, maahad tahfiz, rumah anak yatim selain beberapa aktiviti kebajikan lain.

“Wang yang terdapat dalam yayasan itu datang dari sumbangan saya sendiri dan beberapa kawan yang hendak melakukan amal jariah. Ini yang akan diperjelaskan kepada SPRM esok,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya selepas menjadi Presiden UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Sebuah media tempatan melaporkan Ahmad Zahid akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana sebuah yayasan.

Memetik sumber, laporan itu menyatakan SPRM juga akan mengambil kenyataan mengenai pertemuan Ahmad Zahid dengan ahli keluarga diraja Arab Saudi yang dikatakan mendermakan wang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwa laporan itu, Ahmad Zahid adalah pengerusi sebuah yayasan yang didaftarkan pada 1997 dan memainkan peranan menerima dan mengurus dana bagi membasmi kemiskinan.

Laporan itu turut menyatakan Ahmad Zahid akan diminta memberi penjelasan berhubung tuduhan dana yayasan itu digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000.

Utusan

One thought on “Yayasan keluarga saya – Zahid (video)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.