UEC: Kerajaan PH rela negara berpecah-belah

Kedegilan kerajaan Pakatan Harapan meneruskan hasrat untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) disifatkan sebagai merelakan lahirnya generasi muda yang berpecah-belah sekali gus mengugat perpaduan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku apabila bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan tidak lagi digunakan dalam sistem pendidikan negara.

“Mereka yang tentukan masa depan negara, sanggup merelakan lahirnya generasi yang berpecah-belah kerana mempunyai generasi yang tidak lagi menggunakan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan. Kita sudah ada peperiksaan yang menyatukan kita.

“Kita juga ada pelbagai aliran pendidikan yang dikawalselia Kementerian Pendidikan, kita boleh pasti bahasa kebangsaan dan sistem peperiksaan yang bersifat standard diguna pakai. Selepas ini, apakah kita mampu lahirkan generasi sebegini kerana khuatir pembinaan negara bangsa akan gagal dicapai,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.



Menterinya Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini menegaskan kementerian itu tidak akan membuat ‘pusingan u’ atau dilihat flip-flop dengan tidak meneruskan rancangan mengiktiraf UEC selaras manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pencanggahan pandangan dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) mengenai pengiktirafan UEC, Asyraf menyanggah dakwaan tersebut.

“Mereka sebagai kerajaan yang buat keputusan (mengenai UEC), kenapa kita pula yang dikatakan bercanggah?” tegasnya. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker