Tidak tunai manifesto, perbuatan munafik

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap pemimpin Pakatan Harapan sebagai munafik apabila mengemukakan pelbagai helah dan alasan apabila gagal menunaikan manifesto pilihan raya lalu.

Apabila rakyat, katanya, sudah memberikan harapan terhadap janji-janji yang ditaburkan dan ia tidak dapat dilaksanakan, merupakan satu penipuan kepada rakyat.

“Aku janji dalam manifesto tetap aku janji. Bukan apabila tidak boleh melakukan dalam tempoh 100 hari kononnya manifesto ataupun janji ini bukan kitab suci. Tak boleh buat, tak boleh buatlah…jangan nak memesongkan dan cari alasan.

“Apakah ciri-ciri orang munafik? Apabila berjanji tidak ditepati…bila bercakap, bohong. Kalau tahu tidak boleh laksanakan, jangan berjanji. Ini menipu rakyat, rakyat percaya dan meletakkan harapan akhirnya tidak dapat melakukannya,” kata Ketua Pembangkang itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pencelahan daripada ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong ketika membahaskan usul Titah Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ka Siong di dalam pencelahannya memohon penjelasan daripada Zahid mengenai implikasi Pakatan Harapan tidak melaksanakan janji-janji manifesto setelah rakyat mempercayai janji-janji tersebut dan memberikan mandat kepada mereka untuk menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Susulan daripada jawapan Zahid itu ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer telah membangkitkan peraturan mesyuarat 36(4) meminta Zahid yang juga ketua pembangkang supaya menarik semula perkataan munafik yang digunakan.

Namun begitu timbalan speaker, Nga Kor Ming setelah mendengar penjelasan daripada Zahid berpendapat ia tidak prejudis justeru tiada keperluan untuk ditarik balik.

“Saya dengar penjelasan daripada Yang Berhormat Bagan Datuk, dia buat kenyataan secara prinsip. Dia tidak menuju kepada Perdana Menteri. Maka jika dia buat kenyataan umum macam itu, maka dia tidak prejudis,” katanya.

Sementara itu Zahid di dalam ucapannya turut berharap agar kerajaan PH dapat meneruskan dasar-dasar kerajaan terdahulu yang bermanfaat kepada rakyat.

“Kita harap (kerajaan) jangan bakul sampahkan dasar-dasar yang baik yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika kembali menjawab berkaitan 10 janji dalam 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang diutarakan oleh Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengakui dalam tempoh 70 hari sejak mentadbir negara, hanya dua daripada 10 janji telah mula dilaksanakan.

Dr. Mahathir berkata, enam janji sedang ditunaikan dan dua lagi belum dimulakan langkah pelaksanaan.

“Tumpuan bukan hanya pada 10 janji ini. Dalam 100 hari banyak kerja perlu dilaksanakan kerajaan.

“Yang utama tindakan bersihkan kerosakan hasil rasuah, salah guna kuasa yang dilakukan jentera kerajaan terdahulu,” kata beliau.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai sama ada janji dalam manifesto akan ditunaikan atau hanya sebagai panduan, Dr. Mahathir secara sinis menyatakan tidak sedar manifesto itu dianggap sebagai buku suci.

Beliau menerangkan, kerajaan mendapati beberapa rintangan yang perlu diatasi terlebih dahulu sebelum janji-janji dapat ditunaikan antaranya aspek perundangan.

“Kalau kami berdosa, kami tanggunglah. Tapi tidak anggap manifesto sebagai al-Quran atau Bible,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

One thought on “Tidak tunai manifesto, perbuatan munafik

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.