Royalti minyak 20% sepatutnya ke atas jumlah pengeluaran
Tambah atau kurang?
BELUM pun 100 hari mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi terpaksa membuat pusingan U terhadap janji yang terkandung dalam Buku Harapan atas sebab-sebab tersendiri.
Terkini, isu pemberian 20 peratus royalti minyak ke negeri-negeri pengeluar petroleum seperti Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.
Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan daripada ahli-ahli Parlimen Kelantan, Sarawak dan Sabah dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu berhubung janji itu, ramai yang bertepuk gembira kononnya kerajaan bakal menunaikan peningkatan pemberian royalti daripada lima peratus kepada 20 peratus.
Walau bagaimanapun, yang tidak disedari ketika itu ialah bait-bait akhir jawapan Dr. Mahathir bahawa 20 peratus royalti diberikan adalah berdasarkan keuntungan dan bukannya pengeluaran seperti dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Pensyarah Kanan Unversiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya Dr. Jeniri Amir menjelaskan, wujud implikasi besar daripada keputusan tersebut dan berdasarkan perkiraan yang dibuat, berkemungkinan jumlah yang diperoleh negeri pengeluar minyak bakal berkurangan daripada formula berbeza tersebut meskipun jumlah peratusannya lebih tinggi.
“Meskipun royalti 20 peratus tetapi jika berdasarkan formula keuntungan, jumlahnya jauh berbeza dan berkurangan berbanding royalti lima peratus daripada hasil pengeluaran.
“Ini memberi implikasi besar dari segi jumlah peruntukan yang bakal diterima dan digunakan untuk pembangunan negeri pengeluar minyak, terutamanya negeri besar seperti Sarawak,” luah beliau.
Jeniri turut mengkritik kepemimpinan PH yang mengubah formula pemberian royalti tanpa memaklumkannya secara jelas di dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Rakyat rasa terpedaya dengan janji itu kerana tidak dinyatakan kiraan royalti berdasar kepada keuntungan. Sepatutnya dijelaskan formulanya secara tersurat,” jelas beliau.
Apa pun alasan kerajaan mengenai perubahan formula pemberian royalti minyak itu, imej serta reputasi PHsudah pun terjejas daripada pusingan U yang dilakukan.
Utusan