Pulau Batu Putih tergadai

Malaysia ada bukti kukuh

Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung hak milik Pulau Batu Puteh menimbulkan persoalan yang masih belum dijawab sehingga kini.

Perkembangan itu sudah tentu amat mengecewakan bagi bekas Peguam Negara, TAN SRI MOHAMED APANDI ALI yang berpandangan, Malaysia mempunyai bukti-bukti kukuh bagi menyokong permohonan semakan tersebut.

Persiapan telah dilakukan bagi membentangkan hujah di ICJ namun kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan telah menyerah kalah sebelum memulakan perjuangan untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh sekali gus menyebabkannya terlepas ke tangan Singapura buat selama-lamanya.

Mohamed Apandi berkongsi pandangan beliau tentang isu Pulau Batu Puteh kepada wartawan Mingguan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan KAMIL MASLIH serta jurugambar, MOHD. HAFIZ JOHARI dalam pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

MINGGUAN: Malaysia sebelum ini mempunyai bukti-bukti kukuh bagi menyokong permohonan semakan berhubung tuntutan hak Pulau Batu Puteh kepada ICJ. Namun, pada 23 Mei lalu, kerajaan menarik diri. Apa pandangan Tan Sri?

MOHAMED APANDI: Sebelum pergi kepada bukti kukuh, saya hendak cerita serba sedikit dahulu. Kisah Batu Puteh ini memang lama. Pertikaian timbul antara Malaysia dengan Singapura sejak 1979. Selepas melakukan rundingan dan perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyerahkan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi membuat keputusan.

Kes itu dirujuk ke ICJ pada Julai 2003. Kedua-dua pihak akan bersetuju dan akur dengan keputusan ICJ, bawa bukti masing-masing. Selepas itu hujah dan bicara, sampailah ICJ buat keputusan pada Mei 2008.

Pada 23 Mei 2008, keputusan tidak memihak kepada Malaysia. Pulau Batu Puteh jadi milik Singapura. Cuma saya hendak hurai sedikit, dalam keputusan panjang lebar itu, ICJ menumpukan kepada sepucuk surat daripada pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada masa itu, bertarikh tahun 1953 yang dihantar kepada Singapura. Surat itu menyatakan kita tidak berminat dengan Pulau Batu Puteh.

ICJ menganggap surat itu daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor sendiri. Kita mempersoalkan sama ada beliau mempunyai autoriti atau tidak kerana bertugas sebagai pemangku tetapi perkara itu tidak dipersoalkan, jadi kita kalah.

Masa itu saya jadi hakim dan saya mengikuti perkembangan kes tersebut. Saya rasa sedih kerana kita kehilangan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh. Pada tahun 2013, kerajaan British telah mengisytiharkan akan mengubah status semua surat-surat sulit yang berkaitan dengan Asia Timur.

Apabila saya dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015, terlintas dalam fikiran saya hendak cuba mengambil balik kedaulatan kita dalam soal Pulau Batu Puteh.

Lantaran itu, pada April 2016, saya menghantar dua peguam dari Malaysia ke London untuk membuat penyelidikan dokumen-dokumen yang terdapat di Arkib British. Mereka melihat terdapat lebih 3,000 dokumen yang diubah status berkaitan Asia Timur di sana.

Dua peguam yang saya hantar ini berada di sana selama berbulan-bulan dan akhirnya mereka menemukan tiga dokumen. Itu yang saya teruja, ada tiga dokumen boleh mengembalikan Pulau Batu Puteh. Tiga dokumen ini tidak dilihat semasa ICJ membuat keputusan dahulu, jadi ini adalah keterangan baharu atau bukti baharu.

Selepas itu, saya juga melantik tiga orang Queen’s Counsel yang merupakan peguam terkemuka dan pakar undang-undang antarabangsa. Salah seorang daripada mereka ialah Prof. Malcolm Shaw, seorang profesor terulung di dunia dalam undang-undang antarabangsa dan telah menulis banyak buku.

Seorang lagi bernama Sir Daniel Bethlehem, iaitu pakar undang-undang antarabangsa dan seorang lagi pakar ialah Prof. Brian Plant, seorang warga Australia tetapi menjadi pensyarah di Universiti Cambridge. Saya mengambil Plant menyertai pasukan ini kerana beliau pernah menulis tesis untuk kedoktorannya dengan berpandukan kes Pulau Batu Puteh.

Dalam tesis itu, memang beliau mempersoalkan keputusan ICJ. Plant kata keputusan itu tidak betul dan menyatakan hujah-hujahnya dalam tesis itu. Jadi, tiga orang ini serta saya dan dua orang peguam saya, duduk berbincang mengenai tiga keterangan yang kita temukan itu, sama ada memadai atau tidak untuk kita mengubah keputusan mahkamah.

Mereka semua berbincang dan bersetuju bahawa kita memang ada kes yang kuat. Dari segi undang-undang antarabangsa, kita buat ini melalui semakan. Keputusan memang sudah diberi, kita kena akur tetapi kita boleh semak semula kerana jumpa keterangan baharu.

Sebarang semakan mengikut Statut 61 ICJ, permohonan sedemikian hanya boleh dibuat dalam tempoh 10 tahun selepas keputusan. Dalam masa 10 tahun bermakna kita pergi balik kepada keputusan tahun 2008, jadi tarikh terakhir adalah 2018.

Selepas itu ada satu syarat pula yang menyatakan, kalau jumpa bukti baharu, kena masukkan permohonan dalam masa enam bulan selepas penemuan bukti baharu.

Jadi kita jumpa tiga dokumen itu dalam bulan September atau Oktober 2016, beberapa bulan selepas mereka pergi membuat penyelidikan. Justeru, saya telah membuat cadangan kepada Kabinet terdahulu, malah saya dipanggil dan pergi membuat taklimat kepada Kabinet.

Saya cerita mengenai bukti baharu, dari segi geografi dan sejarah, memang pulau ini kita punya. Kabinet sebulat suara meluluskan agar Malaysia membuat semakan.

Mahkamah memaklumkan kepada saya, selepas kita masukkan hujahan bertulis, keterangan baharu dan kemudian hujahan-hujahan peguam kita yang dokumennya banyak dan tebal, ICJ telah menetapkan tarikh bicara iaitu 11 hingga 22 Jun 2018, dengan pelepasan untuk Hari Raya Aidilfitri pada 19, 20 dan 21 Jun.

Tempoh 22 sampai 28 Jun ditetapkan untuk perbicaraan di ICJ di The Hague, Belanda. Kita pun telah menempah hotel di The Hague. Queen’s Counsel pun akan hadir sama. Saya dan mereka akan berhujah.

Tiba-tiba kerajaan baharu mengisytiharkan bahawa permohonan semakan semula di ICJ ditarik balik. Yang membuatkan saya terkilan, pengumuman ini dibuat semasa saya sedang bercuti, yang telah diarahkan sebelum perkhidmatan saya ditamatkan.

Jadi, tidak rujuk kepada saya, tidak panggil saya untuk taklimat. Saya beranggapan oleh kerana keputusan dahulu adalah keputusan Kabinet, sepatutnya saya pergi taklimat Kabinet kalau mereka hendak kaji semula atau sebagainya.

Tentang penarikan balik kes ini, saya punya pandangan adalah ini satu keputusan kurang cerdik kerana semua persediaan, semua dokumen dan hujahannya telah difailkan.

Tidak ada sebab kenapa kita harus memberhentikan tindakan tersebut. Queen’s Counsel dan saya, semuanya bersedia untuk berhujah.

Saya terkilan kerana keputusan dibuat tanpa menunggu keputusan mahkamah. Kalau keputusan mahkamah kita berpuas hati. Kerajaan yang ada sekarang dengan sewenang-wenangnya tidak meneruskan tindakan.

Sebab ini melibatkan kedaulatan, ia melibatkan maruah negara, bukan suatu keputusan yang boleh dibuat sewenang-wenangnya. Ia patut dikaji, dengar dahulu pandangan saya. Semua Queen’s Counsel bersetuju kita ada kes yang kuat, terserah kepada mahkamah untuk memutuskan. Kenapa kita tidak boleh serahkan kepada mahkamah?

Ibarat dalam pertandingan larian, kita berlari bersungguh-sungguh, sampai ke tali penamat itu, dia kata tidak payah berlarilah, berhentilah.

Kita sudah buat segalanya, tali penamat sudah nampak, itu yang menyebabkan saya rasa keputusan itu kurang cerdik. Saya tidak boleh terima kerana tidak ada kemunasabahan untuk kerajaan sedia ada bertindak sedemikian.

Di sini juga saya ingin memohon maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebab baginda memang bersemangat dan bersama saya.

Semasa saya failkan kes, saya sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada baginda. Baginda kata buatlah sebagaimana titah Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Pada 2008, Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa kita akan berikhtiar untuk mendapatkan kembali Pulau Batu Puteh dan di atas titah itu, saya berikhtiar untuk mendapatkannya kembali tetapi dengan sewenang-wenangnya ikhtiar itu telah terbuang.

Keputusan dahulu dibuat pada Mei 2008, sekarang sudah Jun 2018. Tempoh 10 tahun sudah berakhir. Akibatnya, kita kehilangan pulau Batu Puteh buat selama-lamanya. Namun, bagi mengekalkan kesinambungan kefahaman untuk anak cucu esok, saya bercadang untuk menulis buku mengenai kes ini.

Tan Sri pernah menyebut Malaysia mempunyai tiga fakta baharu bagi menyokong permohonan semakan tersebut. Pada pandangan Tan Sri, apakah kerajaan tidak mengambil kira faktor yang bakal memberi kelebihan kepada Malaysia?

MOHAMED APANDI: Tiga dokumen yang baru ditemukan itu sebenarnya boleh mengatasi surat yang dibuat oleh pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 kerana ketiga-tiga dokumen ini bertarikh selepas 1953.

Dua dokumen bertarikh 1958. Apa-apa dokumen yang seterusnya, ia akan mengatasi dokumen sebelumnya. Satu lagi dokumen adalah peta operasi bertarikh 1960. Semua ini berlaku selepas 1953.

Tiga dokumen ini memberi gambaran bahawa Pulau Batu Puteh memang milik Johor.

Boleh Tan Sri terangkan mengenai dokumen-dokumen yang telah diubah status sulit tersebut?

MOHAMED APANDI: Antaranya adalah komunikasi dalaman antara Pejabat Kolonial British di Singapura dan London yang menyatakan bahawa Pulau Batu Puteh adalah di bawah negeri Johor.

Dokumen kedua adalah daripada Tentera Laut Diraja Britain yang menghantar telegram kepada Pejabat Kolonial memaklumkan satu insiden di mana mereka telah mengejar sebuah kapal Indonesia bernama Labuan Haji. Tentera Laut British kejar dan kapal itu lari ke Pulau Batu Puteh. Mereka kata, tidak boleh masuk sebab kawasan itu adalah dalam perairan Johor.

Yang ketiga adalah peta operasi tentera British yang mana mereka membuat operasi pada 1960 yang jelas menyatakan bahawa sekitar perairan Pulau Batu Puteh adalah kepunyaan Johor.

Tan Sri menyatakan Malaysia sudah kehilangan Pulau Batu Puteh buat selama-lamanya, boleh jelaskan lebih lanjut?

MOHAMED APANDI: Tiada ada ruang lagi untuk buat permohonan semakan semula di ICJ. Tiada jalan, hilang selama-lamanya. Itu yang saya terkilan, itu yang saya sedih. Kenapa?

Kalau mahkamah buat keputusan, saya puas hati, tidak mengapa. Kita sudah bermati-matian, kita kalah dalam perlawanan, dalam pertempuran, tidak mengapa. Ini kalah tanpa melawan, kenapa? Itu yang menimbulkan persoalan dalam diri saya.

Singapura sudah tentu dari awal lancarkan perang saraf menyatakan Malaysia tiada kes. Memanglah pihak lawan akan kata begitu. Kita memang ada kes. Queen’s Counsel dan pakar-pakar dalam undang-undang antarabangsa bersama saya, mereka setuju cuma hendak tunggu hujahan dan keputusan. Itu sahaja, kenapa tidak boleh tunggu?

Sehingga kini, kerajaan masih belum memberi penjelasan yang konkrit berhubung tindakan itu sedangkan banyak pihak khususnya rakyat ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku. Wajarkah kerajaan terus mengambil sikap berdiam diri?

MOHAMED APANDI: Masih tiada penjelasan. Saya pun hendak tahu kenapa kerajaan berbuat demikian tanpa merujuk kepada saya atau mendengar pandangan Queen’s Counsel. Dengarlah pandangan Queen’s Counsel. Saya pun hanya tahu tentang keputusan kerajaan melalui laporan media.

Bukan saya menganggap diri saya ini besar sangat, tetapi saya mengendalikan kes ini demi negara dan kedaulatan Johor. Sekurang-kurangnya, tanyalah saya sama ada kita boleh menang atau tidak.

Bagaimana pula pandangan Queen’s Counsel tentang keputusan kerajaan Malaysia itu?

MOHAMED APANDI: Itu saya belum bertanya kepada mereka lagi tetapi saya fikir mereka kecewa. Semua persiapan telah dilakukan tetapi permohonan semakan ditarik balik pada saat-saat akhir.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini membayangkan hasrat kerajaan untuk menambah keluasan Batuan Tengah.

MOHAMED APANDI: Kos untuk memperluaskan Batuan Tengah adalah jauh lebih mahal daripada kos yang diperlukan untuk mengendalikan tuntutan semakan terhadap Pulau Batu Puteh. Sudah tentu Pulau Batu Puteh adalah lebih baik kerana telah wujud infrastruktur di situ. Ada rumah api yang dibina pada 1846 oleh British.

Bagaimana pula dengan status Tubir Selatan?

MOHAMED APANDI: ICJ belum buat keputusan lagi. Semasa saya masih bertugas sebagai Peguam Negara, saya telah mengumpulkan segala perbincangan dan pertelingkahan antara Malaysia dan Singapura. Kita ada banyak nota tentang perkara itu.

Adakah ICJ merupakan satu-satunya platform untuk menyelesaikan isu tuntutan Pulau Batu Puteh?

MOHAMED APANDI: Kedua-dua pihak telah bersetuju pada asalnya untuk menerima apa jua keputusan ICJ. Itulah langkah terbaik. Ia tidak akan merenggangkan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Bila Malaysia hantar permohonan semakan, Singapura pun seharusnya setuju dan akur juga kerana ia adalah keputusan ICJ. Kita telah mencapai persetujuan dengan Singapura pada 2003 berhubung perkara ini.

Ada juga pandangan pihak tertentu kononnya pentadbiran kerajaan terdahulu di bawah BN cuba menggunakan isu tuntutan Pulau Batu Puteh untuk membangkitkan semangat patriotisme rakyat menjelang PRU-14. Adakah pandangan itu berasas?

MOHAMED APANDI: Yang kita tekankan adalah dari segi perundangan mengenai kedaulatan dan undang-undang antarabangsa. Tidak langsung berkait dengan politik.

Kalau berkait dengan politik, saya akan berceramah di seluruh negara tentang isu Pulau Batu Puteh untuk meraih keuntungan politik. Namun, saya tidak lakukan tindakan itu.

Pesanan Tan Sri kepada generasi akan datang berhubung isu Pulau Batu Puteh?

MOHAMED APANDI: Perkara ini melibatkan soal kedaulatan. Kita sepatutnya tidak dengan sewenang-wenangnya mengorbankan kedaulatan negara. Orang zaman dahulu kalau berperang, sanggup bermati-matian untuk mempertahankan kedaulatan negara, walau seinci pun takkan dilepaskan.

Semangat juang itu perlu terus kekalkan, lebih-lebih lagi bila saya yakin dari segi fakta sejarah, geografi dan undang-undang bahawa Pulau Batu Puteh memang milik Johor dan Malaysia. Mungkin saluran melalui ICJ sudah tiada tetapi kita tidak harus melupakan perkara ini.

Mungkin ada cara lain pada masa akan datang, contohnya melalui hubungan dengan Singapura. Tetapi kita jangan mengalah. Tuntutan kita terhadap Pulau Batu Puteh adalah berlandaskan kepada undang-undang antarabangsa dan berpaksikan kepada sejarah.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker