Perbicaraan saya ujian buat Malaysia – Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau bimbang kempen dan tuduhan berterusan yang dilemparkan terhadapnya tidak memberi pilihan kepada kerajaan baru selain untuk menangkap dan mendakwanya.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian dalam wawancara eksklusif terakhirnya dengan Malaysiakini minggu lalu sebelum penangkapannya petang tadi.

“Jalan cerita politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini mudah: ‘Najib curi berbilion’. Oleh itu, negara hampir muflis dan mereka tidak dapat menunaikan janji manifesto selain mungkin perlu menjual atau menswastakan aset negara seperti Petronas.

“Sudah ada akhbar Jepun melaporkan konglomerat San Miguel Filipina menunjukkan minat pada aset minyak dan gas negara kita,” katanya.

Najib berkata, ini ditambah dengan apa yang dikatakannya sebagai ‘dakwaan mengelirukan’ bahawa hutang negara berada pada RM1 trilion membuatkan pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki sedikit peluang untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik.

“Situasi ini dan apa yang mereka katakan sebelumnya bermakna kerajaan baru tidak mempunyai pilihan selain menangkap atau mendakwa saya akhirnya walaupun kes itu lemah. Saya tetap mengatakan saya tidak bersalah kerana saya bukan pencuri,” tegasnya.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri berharap dapat diberikan perbicaraan yang adil sekiranya beliau didakwa dan memaklumkan salah satu janji PH adalah perbicaraan yang bebas daripada campur tangan politik.

“Apa yang ingin dilihat oleh rakyat Malaysia adalah kedaulatan undang-undang, bukan hanya dikatakan tetapi diamalkan supaya mereka mempunyai keyakinan bahawa kita mempunyai sistem yang telus.

“Ini bukan satu ujian kepada saya, tetapi satu ujian untuk sistem, jika sistem itu boleh mencerminkan kepercayaan terhadap sistem yang mesti dipunyai rakyatnya.

“Saya percaya saya tidak bersalah, oleh kerana itu, satu-satunya cara saya dapat membersihkan nama saya ialah melalui sistem yang adil dan sistem yang dipraktikkan berdasarkan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Ditanya jika beliau yakin pesaing politiknya akan membenarkan perbicaraan yang adil, Najib berkata beliau tidak pasti mengenainya.

“Ini suatu ujian, ujian buat Malaysia,” tegasnya lagi.

“Bolehkah rakyat Malaysia bergantung kepada institusi ini, (seperti) sistem keadilan dan lebih banyak lagi? Setiap orang (seharusnya) mempunyai peluang untuk membuktikan diri mereka di bawah sistem ini,” katanya.

Tidak lama selepas menawan kuasa pada peringkat Persekutuan, kerajaan PH membuka semula penyiasatan terhadap 1MDB dan SRC International, yang menuduh Najib menghalang (siasatan) ketika beliau berkuasa.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri menjelaskan sekali lagi beliau tidak mempunyai keinginan untuk melarikan diri dari Malaysia selepas BN kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei.

“Saya tidak mempunyai kecenderungan, tiada hasrat untuk meninggalkan negara ini. Sebaik saja anda meninggalkan negara ini, andaiannya adalah (anda) bersalah dan anda menjadi buruan untuk sepanjang hayat anda.

“Saya tidak bersedia untuk itu, ini negara saya, saya tidak akan meninggalkan negara ini,” katanya.

Najib turut ditanya bagaimana beliau menangani tanggapan orang ramai yang kelihatan memandang serong kepadanya.

“Saya masih disambut dan disukai di sektor tertentu dan sektor tertentu mungkin mempunyai perasaan yang bertentangan terhadap saya,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau menyambut baik peluang untuk membersihkan namanya dan meminta orang ramai supaya tidak menilainya sebelum (proses) itu.

“Saya berharap orang ramai tidak akan menghukum saya kerana ada banyak fitnah dan banyak perkara yang sudah dikatakan, walaupun saya tidak lagi memegang jawatan.

“Mudah-mudahan orang ramai akan berlaku adil dan menilai saya juga (berdasarkan) semua perkara baik yang sudah saya lakukan di negara ini,” katanya.

Sebagai contoh, Najib berkata beliau sudah mentadbir pengurusan ekonomi yang menghalang dua kemelesetan berlaku; satu pada 2009 dan satu lagi beberapa tahun yang lalu apabila harga minyak dunia jatuh.

Beliau juga mempertahankan cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang dilaksanakan pada April 2015 di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata hasil daripada GST bertindak sebagai penampan sekiranya terdapat faktor luaran yang melemahkan ekonomi. Mengenai pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Najib berkata ia cadangan Bank Negara Malaysia.

“Saya diserang, dikatakan wang tunai adalah raja dan semua itu, tetapi sebenarnya idea itu dicetuskan oleh Bank Negara dalam satu taklimatnya,” katanya.

Beliau berkata bank pusat mencadangkan menghapuskan subsidi tertentu dan menyalurkan wang yang disimpan kepada BR1M untuk menyediakan bantuan tunai langsung terhadap mereka yang memerlukan.

“Oleh yang demikian, kita menjadi masyarakat yang lebih adil. Garis kemiskinan dan kadar ketidaksetaraan kita adalah yang paling rendah dalam sejarah.

“Saya juga pastikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dana lain membayar dividen yang bagus supaya kekayaan serta pendapatan rakyat ditingkatkan,” katanya menjelaskan antara kejayaannya.

Najib memaklumkan, dana KWSP meningkat lebih separuh daripada RM300 bilion kepada RM850 bilion manakala dana Tabung Haji meningkat daripada RM30 bilion kepada RM70 bilion semasa sembilan tahun pentadbirannya.

Related Articles

One Comment

  1. Dalam satu portal yang lain yang memaparkan penangkapan DS Najib, terdapat 8 komen dibawah nya. Kesemua 8 itu menunjukkan kegembiraan mereka ,jubilant dan mencadangkan beberapa jenis sambutan saperti membakar mercun dan bunga api. Maklumlah pada mereka tertangkaplah sudah seorang pencuri yang selama ini dilabel dengan nama itu dan yang telah sekian lama dinafikan oleh beliau sendiri.

    Lalu kita dapat baca bahawa –
    Banyak dari pertuduhan terhadap saya adalah tidak benar.
    Tertangkapnya saya bukan ujian terhadap saya tetapi terhadap Malaysia.
    Setelah memfitnah saya selama ini mereka terpaksa juga menangkap saya. Saya sedar ini akan berkalu.
    Ini adalah peluang bagi saya membersihkan nama saya.
    Kalau saya curi duit, saya tidak akan masokkan kedalam akaun peribadi saya.

    Daiatas adaklah antara yang tersiar yang diluah atau ditulis oleh bekas PM negara. Tiada paksaan untuk menelan dan mempercayai. Terpulang pada diri sendiri. Yang kita tahu banyak orang yang mulut mereka telah disumbat dengan ayat yang telah sedia disusun… telinga mereka di tuang dengan teori2 yang kurang sahih samada fakta atau auta.

    Jangan lupa kita ada yang Satu. Yang Satu ini mengetahui segala2nya yang lepas dan juga segala yang akan berlaku.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker