Najib: Rakyat perlu tuntut janji manis PH

EKSKLUSIF | Di bahagian akhir wawancara eksklusif ini, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa rakyat Malaysia memastikan kerajaan baru melaksanakan pentadbiran yang bertanggungjawab.

Beliau berkata hanya masa akan menentukan sama ada Malaysia akan mengalami perubahan sebenar-benarnya atau perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad akan kembali kepada cara yang lama.

“Jadi saya fikir saya tak mahu mengulas dulu. Biarkan rakyat menilai sendiri. Jika tidak, rakyat akan mengatakan saya berat sebelah.

“Tetapi saya harap ia akan jadi lebih baik kerana mereka mengundi untuk perubahan,” katanya kepada Malaysiakini dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menggesa rakyat Malaysia memastikan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berpegang dengan janji-janjinya.

“Saya fikir rakyat mesti membuat tuntutan, pada hari itu (9 Mei), mereka mengundi semua perkara ini, untuk minyak yang murah, tol percuma, (bayaran pinjaman) PTPTN diketepikan.

“Jika mereka tidak membuat tuntutan maka saya fikir rakyat Malaysia tidak adil kepada diri sendiri,” katanya.

‘Janji manis HARAPAN tidak realistik’

Berhubung perkara itu, Najib berkata beliau tidak terkejut sekiranya janji 100 hari HARAPAN sukar untuk dilaksanakan.

Bekas Perdana Menteri itu mendedahkan pihaknya melakukan pengiraan apabila HARAPAN melancarkan manifesto mereka pada pilihan raya umum ke-14 lalu..

“Kami tahu mereka tidak dapat (buat). Tidak boleh. Apabila ia (manifesto) keluar, kami buat pengiraan dengan cepat. Kita tahu janji manis itu adalah populis tetapi tidak realitistik,” tambahnya.

Najib berkata adalah merupakan kesalahan untuk membuat janji yang tidak boleh ditunaikan kerana ia sama seperti berbohong kepada rakyat.

Beliau juga berkata kerajaan baru harus menghentikan amalan untuk menyalahkan pentadbirannya dalam segala hal.

“Saya fikir skripnya adalah kerana pentadbiran kami (dalam perkara-perkara tidak boleh dilakukan) dan sudah tentu, mereka menuduh saya rasuah yang tidak masuk akal,” katanya.

Bekas presiden Umno itu juga mengulangi kritikan terhadap dakwaan kerajaan HARAPAN bahawa hutang dan liabiliti negara kini mencapai angka RM1 trilion.

Beliau berkata hutang sebenarnya berjumlah RM686 juta, satu angka yang telah dinyatakan agensi penarafan antarabangsa.

Beliau memberikan contoh prestasi buruk pasaran saham sejak HARAPAN menguasai kerajaan dan bagaimana kerajaan baru gagal mengendalikan keadaan dengan baik.

“Apabila anda berada dalam kerajaan, anda perlu meningkatkan kepercayaan dan berfikir dan memberi tumpuan lebih kepada melakukan lebih baik,” katanya.

Berikut adalah petikan daripada temu bual, yang telah disunting untuk keringkasan, tatabahasa dan ketepatan:

Malaysiakini: Pada hari ke-60 kerajaan baru , bagaimana anda menilai mereka? Apa yang betul mereka buat dan apa yang mereka lakukan salah?

Najib: Mereka mungkin mengatakan mereka boleh lakukan lebih baik. Saya fikir mereka harus menunjukkan bahawa mereka boleh melakukan yang lebih baik. Mereka tidak mencipta sesuatu yang baru.

Membatalkan projek adalah satu perkara yang tidak ada gunanya. Maksud saya, anda boleh batalkan dan anda boleh tunda. Ia mudah, tetapi anda boleh mencipta sesuatu yang lebih baik, itu adalah cabaran.

Malaysiakini: Adakah anda fikir semua tindakan menyalahkan ini dan dengan mengatakan hutang berjumlah RM1 trilion adalah bagi menyediakan asas mengapa mereka tidak dapat memenuhi janji 100 hari mereka?

Najib: Kami tahu mereka tidak boleh. Tidak boleh. Itu (manifesto mereka) adalah satu janji yang pasti kepada rakyat. Rakyat mengundi untuk itu.

Saya telah jumpa ramai orang yang kata, tengok kami nak beli petrol RM1.50 keesokan hari. Mereka mengundi kerana janji-janji itu dan mereka tak ditunaikan, dan bagi kerajaan persekutuan mereka tak dapat buat, saya fikir terdapat banyak soalan yang serius untuk dijawab.

Sebagai PM pada waktu itu, saya tidak dapat berbuat demikian.

Secara jujur, apabila kita buat janji dalam manifesto, kita percaya kita akan lakukannya. Ini adalah janji kepada rakyat dan saya menanggapinya dengan serius. Saya menjadikan manifesto yang dibuat BN sebagai janji serius kepada rakyat.

Dan saya bermaksud jujur, kepada setiap janji yang saya buat kepada rakyat. Dan saya tahu jika saya membuat janji palsu, saya tiada nurani untuk melakukannya.

Itulah sebabnya saya tidak melakukannya. Saya janji apa yang saya boleh lakukan yang terbaik. Tetapi saya tidak boleh melampaui, untuk mengatakan bahawa jika saya menang, hari berikutnya RON95 akan jadi RM1.50.

Saya tahu kita tidak dapat berbuat demikian. Kerana walaupun RM2.20, subsidi berjumlah RM600 juta sebulan. Bayangkan jika kita cuba mengurangkannya kepada RM1.50. Kita tidak mampu. RM1.50 adalah 70sen lebih murah daripada harga petrol semasa Arab Saudi dan mereka menghasilkan lebih 20 kali lebih banyak minyak daripada kita. Kita tahu HARAPAN berbohong kepada rakyat.

Saya tahu saya tidak boleh berjanji untuk menghapuskan tol, contohnya. Kerana untuk menghapuskan tol akan menelan belanja RM338 bilion. Saya tahu saya tidak boleh menjanjikan PTPTN bahawa sesiapa yang berpendapatan di bawah RM4,000 tidak perlu membayar kerana akan menjadi berbilion bilion.

Saya tahu dan saya tidak boleh membuat janji-janji ini kepada rakyat kerana ini adalah janji palsu. Ini akan menjadi satu pengkhianatan kepada rakyat dan saya tidak bersedia untuk berbuat demikian.

Malaysiakini: Adakah anda menjangkakan Mahathir menyerahkan kuasa kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim?

Najib: Pernyataannya (Mahathir) seolah-olah tidak konsisten, jadi anda perlu bertanya kepadanya.

Malaysiakini: Ketika menjadi perdana menteri, anda hanya menunggu mesyuarat Umno sebulan sekali untuk mengadakan sidang akhbar. Mengapa anda jarang mengadakan sidang akhbar?

Najib: Tidak, tidak, tidak, kerana saya mahu ucapan saya disiarkan media tetapi jika anda buat sidang akhbar, maka isu-isu lain akan mengatasi mesej utama, kamu pun tahu. Jadi itulah sebabnya saya enggan untuk menganjurkan sidang akhbar kerana isu-isu lain kemudian akan mengatasi mesej utama.

Kerana biasanya apabila saya dalam persidangan, saya buat ucapan dasar utama, tetapi jika anda bertanya kepada saya perkara-perkara lain, perkara-perkara lain mungkin mengatasi ucapan dasar utama, oleh itu saya memutuskan bahawa hanya menggunakan ucapan saya.

Kerana ia adalah mesej yang kuat saya ingin sampaikan kepada rakyat, dan semua ucapan dasar benar-benar menjelaskan dasar kita kepada rakyat, dan saya mahu kecenderungan itu dibuat kepada rakyat.

Bukan kerana saya tidak mahu berada dalam media, bukan kerana saya tidak menghormati akhbar, tetapi saya mahu mesej utama saya jelas setiap masa.

Malaysiakini: Masalahnya ialah apabila anda tidak mengadakan sidang akhbar, ia memberi gambaran bahawa anda takut untuk diteliti. Itulah persepsi yang anda cipta.

Najib: Ya, ia tidak berniat langsung. Bukan saya tidak mahu diteliti, tetapi kerana saya mahu ucapan dasar dihuraikan oleh media.

MKini

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.