Misteri penarikan tentera di Arab Saudi

oleh AB JALIL BACKER

SEKIAN lama terdapat khabar angin jahat dan gosip bahawa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu merupakan seorang yang bersimpati dengan agenda Syiah. Namun ia sekadar tuduhan gosip liar yang bercorak politik.

Namun kenyataan beliau untuk menarik balik tentera negara ini yang ditepatkan di Riyadh, Arab Saudi dan menutup Pusat Keamanan Raja Salman di Putrajaya menimbulkan semula gosip-gosip ini.

Seperti diketahui umum hubungan “kiblat Syiah” iaitu Teheran dengan Arab Saudi sememang tidak pernah baik. Manakala Malaysia sungguhpun mempunyai hubungan baik dengan Iran dan Arab Saudi tetapi jelas lebih akrab dengan penjaga tanah suci Makkah dan Madinah tersebut.

Jadi kita tertanya-tanya adakah cadangan-cadangan ini kerana ia merupakan polisi pentadbiran negara atau agenda kumpulan tertentu yang dilihat sebagai pro-Syiah? Sudah tentu kolum ini tidak wajar membincangkan lagi isu Sunni dan Syiah kerana ia telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Yang membimbangkan kita ialah penyerapan unsur-unsur Syiah dalam pentadbiran kerajaan hari ini bukan sahaja menjejaskan hubungan baik dengan Arab Saudi tetapi juga dari segi pentadbiran Islam di negara ini.

Kenyataan Menteri Pertahanan bahawa penarikan misi anggota tentera Malaysia di Arab Saudi adalah kerana dasar berkecuali negara tidaklah misteri sangat berbanding hasrat untuk menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman.

Jika penarikan misi ATM kerana Dasar Berkecuali negara sejak berpuluh tahun lalu, apa alasan penutupan pusat tersebut jika bukan kerana isu Sunni dan Syiah?

Bagaimanapun untuk rekod, misi ATM di Riyadh sejak 2015 ialah untuk memudahkan pemindahan keluar secara selamat dan lancar baki rakyat negara yang masih berada di Yaman.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Dr Zulkefli Mohd Zin ketika itu menafi berita bahawa Malaysia turut terbabit dengan pakatan negara Arab membantu menghalang pemberontakan di Yaman.

Menurut beliau, dua pesawat pengangkut C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditempatkan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pangkalan Udara Putera Sultan (PSAB) di Riyadh, Arab Saudi sebagai tapak pendaratan sebelum berlepas ke lokasi pemindahan bagi menguruskan rakyat Malaysia keluar dari Yaman.

Jika mahu ditarik semula misi ATM di sana ia seharusnya atas dasar tiada lagi keperluan pemindahan rakyat Malaysia dari kawasan konflik di sana bukannya kerana dasar negara berkecuali. Ini kerana kedudukan askar kita di sana bukan untuk berperang dengan pemberontak Yaman.

Selebihnya sebagai Muslim dan Malaysia ini dianggap negara Islam, apakah salah kita mempunyai misi ATM di Arab Saudi yang sekali gus membantu negara itu mempertahankan tanah suci Makkah dan Madinah?

Sikap Menteri Pertahanan seolah-olah mahu bermusuh dengan Arab Saudi ini menimbulkan kebimbangan bahawa dasar pertahanan negara pada masa hadapan akan dipengaruhi oleh Syiah dan menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi.

Malaysia selama ini menikmati banyak faedah dalam hubungan baik dengan Arab Saudi terutama dari segi kuota dan layanan jemaah haji serta pelaburan dari negara tersebut. Tidak mustahil semua ini akan terhakis jika Mohamad Sabu berterusan mengambil sikap yang tidak mesra Arab Saudi.

Berhati-hatilah mengurus hubungan antarabangsa, ia tidak semudah berceramah atas pentas politik.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)
Sinar Harian

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker